Saifuddin Nasution saman Zuraida

Saifuddin Nasution, Zuraida
Saifuddin Nasution, Zuraida
A
A
A

KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memfailkan saman di Mahkamah Tinggi terhadap bekas Naib Presiden parti itu, Zuraida Kamarudin kerana menuduh beliau terlibat dengan rasuah.

Saifuddin Nasution berkata, kenyataan Zuraida pada majlis makan malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 di sebuah hotel di sini pada 8 Disember tahun lalu menjejaskan reputasi beliau.

“Perkataan-perkataan yang dipersoal mestilah dibaca sambil merujuk kepada perebutan kuasa antara (Presiden PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) dan (bekas Timbalan Presiden PKR) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

"PKR telah berpecah antara penyokong-penyokong Azmin Ali dan DSAI. Zuraida adalah seorang penyokong tegar Azmin Ali sementara saya pula diketahui sebagai penyokong DSAI,” katanya dalam samannya memetik laporan Free Malaysia Today (FMT) hari ini.

Saifuddin Nasution memberitahu, kenyataan Zuraida itu dimuat naik ke laman Facebook, 'Friends of Azmin Ali' dan kemudiannya dikongsi di laman Facebooknya sendiri.

Menurut beliau, dalam majlis berkenaan, Zuraida dipercayai telah bertanya kepada hadirin 'berapa juta dia dapat duit' ketika 'menyertai Tok Kenali'.

Katanya, ia tuduhan itu merujuk kepadanya dan hubungannya dengan sebuah yayasan kebajikan di bawah pemerintahan Kelantan yang dikenali sebagai Tok Kenali.

“Perkataan-perkataan yang dipersoal telah disiar atau disiar semula oleh media arus perdana dan media sosial serta dilihat oleh orang awam,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Saifuddin berkata, peguamnya sebelum ini juga telah menghantar notis tuntutan permohonan maaf daripada Zauraida tetapi beliau gagal memberi respons.

Berikutan itu, Saifuddin dalam samannya itu, beliau menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk serta teladan daripada Zuraida selain perintah injunksi bagi menghalang beliau daripada membuat kenyataan fitnah berikutnya.

“Mahkamah diminta untuk membuat satu inferens bahawa perilaku Zuraida seperti yang diperihalkan adalah disengajakan untuk mendatangkan manfaat kepada diri atau kedudukan politiknya,” katanya.

Zuraida bersama Azmin serta sembilan lagi pemimpin dipecat daripada PKR pada Februari lalu ekoran didakwa melakukan pengkhianatan terbuka kepada parti yang bertentangan dengan pendirian parti itu berhubung kedudukan perdana menteri.