Polis tumpas sindiket proses dadah di Brickfields

Antara dadah yang dirampas pihak polis dalam tiga serbuan berasingan di Jalan Radin Anum dan Jalan Ipoh, Kuala Lumpur Jumaat lalu.
Antara dadah yang dirampas pihak polis dalam tiga serbuan berasingan di Jalan Radin Anum dan Jalan Ipoh, Kuala Lumpur Jumaat lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menumpaskan sindiket pengedaran dan memproses dadah susulan penahanan lima individu termasuk seorang wanita dalam serbuan berasingan di Jalan Radin Anum dan Jalan Ipoh di sini Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin berkata, dalam serbuan pertama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields kira-kira jam 1.30 pagi di Jalan Radin Anum, dua lelaki tempatan diberkas dengan rampasan dadah jenis heroin seberat 920 gram serta methamphetamine seberat 102 gram.

Menurutnya, soal siasat terhadap suspek kemudian telah membawa tangkapan seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga Indonesia kira-kira jam 2.30 pagi di sebuah bilik hotel di Jalan Ipoh.

"Pemeriksaan di bilik hotel terbabit menemui dadah jenis methamphetamine seberat 662 gram, pil ekstasi seberat 21 gram dan pil erimin 5 seberat sembilan gram.

"Turut dirampas beberapa botol mengandungi cecair disyaki bahan kimia yang digunakan untuk memproses dadah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Zairulnizam berkata, susulan itu seorang lagi suspek lelaki tempatan juga berjaya diberkas di hotel yang sama kira-kira jam 3 pagi.

Katanya, dadah jenis methamphetamine seberat 140 gram dan heroin seberat 291 gram telah dirampas.

Tambahnya, nilai rampasan kesemua dadah dianggarkan bernilai RM117,290 berdasarkan harga pasaran semasa.

Artikel Berkaitan:

“Hasil ujian saringan awal air kencing dilakukan terhadap semua suspek berusia 36 hingga 50 tahun itu mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine malah semakan mendapati empat suspek lelaki mempunyai rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah," katanya.

Kesemua suspek kini direman enam hari sehingga 19 Ogos depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.