PKPD Pentadbiran di Kedah, tunggu nasihat KKM: Ismail Sabri

Ismail Sabri ditemui ketika melawat Pusat Media PRK DUN Slim hari ini.
Ismail Sabri ditemui ketika melawat Pusat Media PRK DUN Slim hari ini.
A
A
A

TANJUNG MALIM - Kerajaan akan mendapatkan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran selepas wujudnya kluster baharu iaitu Kluster Sala di Yan, Kedah semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, KKM akan melakukan penelitian dan penilaian terlebih dahulu sebelum mengeluarkan arahan tersebut.

"Kita perlu dapatkan nasihat daripada KKM untuk apa sahaja keputusan. Kadang-kadang tidak perlu walaupun ada (kes Covid-19). Bukan bermakna ada kes ketika itu terus 'lockdown' seluruh kampung, daerah dan sebagainya.

"KKM ada cara (kaedah) tersendiri. Sebab itu saya beritahu negeri-negeri kalau ada cadangan KKM akan berbincang terlebih dahulu. Kalau kita sudah umumkan seperti di Sanglang, pergerakan itu kita sudah dikawal, tidak boleh masuk dan keluar kawasan itu," katanya ketika melawat Pusat Media PRK DUN Slim di Slim River di sini hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri belum boleh mengumumkan PKPD Pentadbiran melainkan kerajaan Pusat sahaja.

"Ketua Pengarah (kesihatan) boleh mengeluarkan arahan berdasarkan Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) tapi arahan itu yang akan boleh dikuatkuasakan.

"Kalau negeri sahaja yang umum tidak keluarkan arahan, tidak ikut akta 342, penguatkuasaan tidak boleh dilaksanakan dan sekiranya ada yang melanggar peraturan, tindakan tidak boleh diambil," katanya.

Ismail Sabri berkata, tiada sebarang arahan mahupun cadangan diterimanya setakat ini.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya perlu, baru kita umumkan dan senaraikan apa perkara yang boleh dan tidak boleh sebelum kita keluarkan perintah PKPD Pentadbiran.

"Sebab itu, sebelum keputusan dibuat, biar KKM putuskan terlebih dahulu. Kita buat penilaian keperluan dan kalau kata perlu, kita akan buat. Setakat ini tiada, belum ada lagi," katanya.