'Penyertaan Bersatu diperincikan dalam piagam Muafakat Nasional'

Annuar (dua dari kanan) menyampaikan lesen penjaja kepada salah seorang peniaga di Batu Muda hari ini.
Annuar (dua dari kanan) menyampaikan lesen penjaja kepada salah seorang peniaga di Batu Muda hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Muafakat Nasional (MN) disepakati secara prinsip dan akan dizahirkan menerusi perincian piagam gabungan itu.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam memaklumkan bahawa persetujuan itu akan 'dimurnikan' menerusi tambahan dalam piagam MN dan Memorandum Persefahaman (MOU) gabungan tersebut.

"Proses itu dilaksanakan secara organik dan berperingkat. Tidak semua gembira dengan keputusan itu sedangkan MN sendiri ambil masa setahun. Itu pun ada tempat dapat terima dan ada setengah tempat yang masih belum terima.

"Benda itu normal bagi parti politik yang mempunyai pandangan yang berbeza-beza, jadi kita kena tunjukkan kematangan dalam politik dan elakkan pendekatan suasana tidak harmoni," katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan lesen penjaja kepada peniaga di Batu Muda hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada sebab khianat parti sendiri, kata Muhyiddin

Semalam, Muhyiddin selaku Presiden Bersatu mengumumkan bahawa Majlis Tertinggi parti itu bersetuju untuk menyertai MN yang mendukung PN sebagai gabungan besar.

Annuar berkata, persetujuan Bersatu menjadi anggota dalam MN dipersetujui secara lisan dan dibawa dalam mesyuarat jawatankuasa pemandu MN untuk dibincangkan.

Katanya, MN sebelum ini diajak menyertai Perikatan Nasional (PN) sebagai entiti parti politik, namun ditolak UMNO dan Pas memandangkan sudah mempunyai gabungan di bawah MN.

"Keputusan kita adalah MN kekal mendukung kerajaan PN dan menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri tetapi MN tidak berhasrat untuk menjadi ahli jika PN mahu didaftarkan sebagai parti politik rasmi.

Artikel Berkaitan:

"Sebaliknya Presiden UMNO dan Pas menawarkan Bersatu menyertai MN. Kita dimaklumkan Majlis Tertinggi Bersatu bersetuju untuk terima pandangan MN," katanya.

Menurutnya, MN memfokuskan menjadikan politik Malaysia stabil memandangkan politik negara berada dalam keadaan kucar-kacir.

"Saya faham ada pihak buat tinjauan awam sama ada setuju atau tidak tentang kemasukan Bersatu dalam MN, namun bagi saya cara yang perlu dilakukan sekarang adalah mencari jalan untuk menjadikan keputusan itu sebagai hasrat yang dilaksanakan.

"Buat pertama kali rakyat tidak mendapat satu kerajaan yang kuat dan stabil kerana margin kerusi hanya dua tiga kerusi sahaja, tanggungjawab kita kepada rakyat adalah cari jalan untuk stabilkan kerajaan untuk kesejahteraan rakyat, bukan mencari jalan gaduh," katanya.