Orang Asli di Slim River mahu air bersih, bekalan elektrik

Ramesh bersama penduduk Kampung Sungai Teras.
Ramesh bersama penduduk Kampung Sungai Teras.
A
A
A

TANJUNG MALIM - Lebih 100 penduduk Kampung Orang Asli Changkat Ramu, Slim River di sini terputus bekalan air bersih sejak tujuh bulan lalu.

Masalah sama turut membelenggu tiga lagi kampung Orang Asli iaitu Kampung Sungai Teras, Kampung Buluh Seruas dan Kampung Sungai Jentong.

Keadaan itu berlaku selepas pam yang menyedut sumber air mentah dari bawah tanah yang menyalur ke rumah penduduk telah rosak akibat tekanan air rendah.

Latah Merah
Latah Merah

Tok Batin, Latah Merah berkata, penduduk terpaksa bergantung sepenuhnya kepada air telaga dan Sungai Bernam berhampiran untuk menjalani kehidupan harian.

Lebih memeritkan, katanya, Lembaga Air Perak (LAP) telah menghentikan penghantaran air bersih kerana keadaan jalan selain tidak boleh melalui jambatan ke kampung tersebut.

“Kami tiada pilihan lain menggunakan sungai yang terletak kira-kira 500 meter untuk basuh pakaian dan mandi.

“Penduduk terdedah dengan air sungai yang tercemar, arus deras serta dihuni buaya. Risiko inilah yang terpaksa kami tempuh setiap hari,” katanya ketika ditemui media di sini.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, penduduk membelanjakan hampir RM100 sebulan untuk membeli air untuk minuman dan memasak.

“Bagi yang berkemampuan tiada masalah tetapi bagaimana mereka yang tidak mampu? Sekiranya hujan boleh juga tadah air tetapi sekarang musim panas.

“Setiap kali jumpa penduduk mereka akan bertanya bila masalah air akan selesai. Kami tidak mahu menunggu lama lagi dan berharap ada bekalan air daripada LAP secepat mungkin," katanya.

Hanjati mengangkut air dari telaga setiap hari untuk kegunaan harian.
Hanjati mengangkut air dari telaga setiap hari untuk kegunaan harian.

Penduduk, Hanjati Merah, 56, terpaksa menggunakan tulang empat keratnya untuk mengangkut air dari telaga setiap hari untuk kegunaan harian termasuk memandikan suaminya.

“Saya mengangkut air pada waktu pagi dan petang kerana suami kini tidak boleh berjalan selepas kemalangan motosikal empat bulan lalu.

“Air sama digunakan untuk masak dan minum. Kami telah juga meski pun air itu berbau. Kadang-kadang air keruh dan berkeladak waktu hujan tapi, kami tiada pilihan,” katanya.

Teruskan kembali projek elektrik

Lebih 40 rumah penduduk Sungai Teras di sini, belum sempat merasai kemudahan elektrik meskipun kampung ini terletak kira-kira enam kilometer dari pekan Slim River.

Rosnah Rosli
Rosnah Rosli

Penduduk, Rosnah Rosli, 28, berkata, dia teringin menikmati kemudahan itu dan mengenali teknologi terkini seperti komputer, telefon bimbit dan televisyen.

“Anak-anak mahu belajar dan ia sukar apabila menggunakan pelita dan lilin. Kadangkala mereka menangis kerana mahu menonton televisyen.

“Kami berkongsi dengan jiran-jiran untuk membeli generator tetapi sekejap sahaja boleh guna kerana berkongsi duit minyak,” katanya.

Kuloh Bah Rinteh
Kuloh Bah Rinteh

Tok Batin, Kuloh Bah Rinteh, 62, berkata, pihaknya merayu kerajaan dapat menyambung semula projek elektrik yang tertangguh selama 22 bulan lalu.

“Tiang elektrik sudah ada dan sepatutnya kami dapat elektrik dua tahun lalu tetapi ia ditangguhkan apabila projek sambung elektrik ke rumah dihentikan.

"Masalah elektrik juga mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim (Allahyarham Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib) dan arwah berusaha mencari jalan sambung kemudahan ini tetapi tidak kesampaian. Arwah selalu menjaga kami,” katanya.

Sementara itu, Aktivis dan Pengasas Koperasi Pembangunan Orang Asli, Ramesh Arumugam Chettiar berkata, kerajaan perlu menambah baik semua kemudahan dan infrastruktur agar masyarakat itu tidak dipinggirkan dalam menerima pembangunan negara.

“Sebahagian mereka adalah pengundi yang berhak menerima pembangunan sewajarnya daripada kerajaan.

“Projek fasiliti untuk penduduk telah 80 peratus disiapkan dan diharapkan ia dapat diteruskan untuk penduduk menikmati pembangunan dan kemudahan sama seperti penduduk di bandar,” katanya.

Muzalan dolah, 47, menunjukkan tangki air kosong selepas pam yang menyedut air bawah tanah rosak.
Muzalan dolah, 47, menunjukkan tangki air kosong selepas pam yang menyedut air bawah tanah rosak.