PM hadir perjumpaan bersama barisan pimpinan Johor

Muhyiddin (tiga dari kiri) ketika menghadiri Majlis Perjumpaan Bersama Pemimpin Negeri Johor malam ini. - Foto Bernama
Muhyiddin (tiga dari kiri) ketika menghadiri Majlis Perjumpaan Bersama Pemimpin Negeri Johor malam ini. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadiri perjumpaan bersama barisan pemimpin negeri ini di sebuah hotel, di sini malam ini.

Perjumpaan tersebut diadakan bersempena lawatan dua hari Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh ke negeri Johor.

Ketibaan Pemangku Pengerusi dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada kira-kira 8.15 malam itu disambut Menteri Besar Johor merangkap Pengerusi Barisan Nasional Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad.

Turut hadir pada majlis tertutup itu, Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin; Pengerusi Bersatu Johor, Mazlan Bujang; Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Pengerusi MIC Johor, R Vidyananthan.

Perjumpaan itu turut melibatkan kepimpinan bahagian UMNO, Bersatu, Pas, MCA dan MIC.

Selain Muhyiddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, kesemua 10 ADUN dari Bersatu turut kelihatan pada majlis berkenaan.

Terdahulu, dalam perutusan khas sempena persidangan Angkatan Muda Bersatu (Armada), Srikandi dan Bahagian Bersatu yang disiarkan secara langsung melalui Facebook rasmi Muhyiddin hari ini, beliau berkata, penyertaan Bersatu dalam Muafakat Nasional (MN) akan dimuktamadkan dalam waktu terdekat.

Muhyiddin berkata, dengan menyertai MN yang mendukung Perikatan Nasional (PN), maka, Bersatu akan berada dalam satu gabungan besar atau 'the grand coalition'. - Bernama

Artikel Berkaitan: