Selangor tidak kompromi kakitangan terlibat rasuah

Ng Sze Han
Ng Sze Han
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor tidak akan berkompromi dengan kakitangan yang terlibat rasuah dan penyalahgunaan kuasa, demikian tegas Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Negeri Selangor, Ng Sze Han.

Beliau berkata, kerajaan Selangor merupakan sebuah pentadbiran berlandaskan ketelusan dan sangat mengutamakan integriti.

Justeru menurutnya, kerajaan negeri tidak akan melindungi kakitangan yang terlibat dengan jenayah tersebut.

“Kerajaan Selangor ingin menasihati semua kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini supaya menjalankan tugas dengan telus dan menjauhkan diri daripada kegiatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

“Kerajaan negeri tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap kakitangan PBT yang disahkan terlibat dalam kesalahan-kesalahan tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan kepada Sinar Harian.

Sze Han berkata, kerajaan Selangor tetap percaya dan yakin bahawa kakitangan PBT di negeri ini akan sentiasa melaksanakan tugas dengan baik demi rakyat dan negeri ini.

Dalam pada itu beliau turut mengalu-alukan orang ramai mengemukakan maklumat berkaitan salah laku kakitangan PBT menerusi saluran yang betul bagi membantu kerajaan Selangor membanteras kegiatan rasuah.

“Kerajaan Selangor bertekad dan komited untuk membentuk sebuah kerajaan yang berintegriti bersama rakyat Selangor,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu media melaporkan lima penguat kuasa MBSA dan seorang penjual rokok seludup berbangsa Aceh direman tujuh hari bagi membantu siasatan selepas dipercayai mengutip dan menerima suapan RM300 hingga RM3,500 sebulan daripada beberapa peniaga tersebut. Wang suapan itu dikatakan untuk melindungi premis haram daripada diambil tindakan.

Semalam, Pengarah Jabatan Penguatkuasa MBSA pula ditahan bagi membantu siasatan selepas disyaki terbabit dalam sindiket melindungi premis perniagaan haram.