X

Kindly register in order to view this article
!

Larian maya barakan semangat komuniti ragbi

Dari kiri Bob Faizeli; Timbalan Pengarah KPM, Razuki A Rahim; Naib Presiden KRM, Fahmy Jalil Mohd Amie dan pemain ragbi kebangsaan selepas pelancaran larian berkenaan di MSN. - Foto Kuain Ibrahim
A
A

SATU acara larian maya bertemakan ragbi dijangka menyemarakkan kembali semangat dalam komuniti itu yang terkesan dengan pembatalan pelbagai aktiviti sukan berkenaan berikutan pandemik Covid-19.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Ragbi.My, Bob Faizeli Mohamed Din, idea penganjuran Ragbi.My Virtual Run menggunakan tema ragbi itu tercetus berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mengehadkan aktiviti sukan secara berkumpulan.

“Pada ketika ini kejohanan ragbi tidak dapat dianjurkan akibat pandemik Covid-19, namun kami memikirkan cara lain bagi memastikan komuniti ragbi mempunyai aktiviti dan gaya hidup sihat, maka lahirlah idea larian maya ini.

"Larian ini bertujuan membudayakan gaya hidup aktif di samping mempromosikan sukan ragbi daripada sudut kecergasan turut disokong Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM),” katanya yang juga penganjur kejohanan selepas gimik pelancaran Ragbi.My Virtual Run di Majlis Sukan Negara (MSN) semalam.

Larian maya dibahagikan dalam tiga kategori iaitu lima kilometer (km), 10km dan 15km yang dijadualkan berlangsung dari Ogos hingga Oktober depan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Carisbrook Malaysia, Mohd Amie Imran Rasikon berkata, Carisbrook Malaysia sebagai Rakan Sukan Ragbi Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) prihatin dan sangat mengambil berat isu penglibatan murid sekolah dalam aktiviti sukan sepanjang pandemik Covid-19.

"Idea larian maya digunakan sebagai inisiatif kepada pihak Bahagian Sukan Kokurikulum dan Kesenian, KPM untuk mengiktiraf penyertaan murid dengan mengeluarkan sijil Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) untuk kegunaan murid sekolah," katanya.

Penyertaan Ragbi.My Virtual Run 2020 adalah terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira usia.

Setiap peserta yang menamatkan larian mengikut kategori masing-masing akan menerima baju T keluaran khas oleh Carisbrook Malaysia serta pingat.

Bagi kategori 5km, penyertaan kini dibuka sehingga 31 Ogos, kategori 10km dibuka pada 1 September manakala kategori 15km pada 1 Oktober depan

Selaku penganjur, Ragbi.My serta rakan kolaborasi Carisbrook Malaysia menyasarkan penyertaan 20,000 peserta yang terdiri daripada orang awam dan juga murid sekolah rendah serta menengah seluruh negara.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!