Hayati sejarah kuatkan jati diri

Che Muhamad Azmi menunjukkan tinggalan sejarah iaitu perahu besar yang diberi nama SABAR T82 daripada jenis pinis dogol di Muzium Negeri Terengganu baru-baru ini.
Che Muhamad Azmi menunjukkan tinggalan sejarah iaitu perahu besar yang diberi nama SABAR T82 daripada jenis pinis dogol di Muzium Negeri Terengganu baru-baru ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Semangat patriotik dan jati diri boleh diserap ke dalam jiwa anak muda menerusi pendedahan tentang sejarah dan kehebatan nenek moyang dalam memperjuangkan agama, bangsa serta negara.

Pengarah Muzium Negeri Terengganu, Che Muhamad Azmi Ngah berkata, kegigihan generasi terdahulu perlu dijadikan inspirasi oleh golongan muda agar mereka juga mampu mencipta sejarah untuk manfaat generasi akan datang.

“Di Terengganu khususnya, masyarakat zaman dahulu dikenali sebagai masyarakat maritim yang sangat berani meneroka Laut China Selatan untuk berdagang dengan menggunakan perahu besar yang dibuat sendiri menggunakan tangan.

“Terdapat ribuan perahu besar (kapal dagang) di Terengganu satu ketika dahulu yang menjadikan pelabuhan di negeri ini antara yang terbesar di dunia ketika itu.

“Pengunjung yang datang ke Muzium Terengganu pasti terpegun melihat sendiri dua perahu besar yang dipamerkan di sini kerana ia adalah bukti hebatnya masyarakat terdahulu,” katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Muzium Negeri Terengganu yang terletak di Losong dengan keluasan 23 hektar itu adalah muzium yang terbesar di Malaysia dan antara yang terbesar di Asia Tenggara.

Mengulas lanjut, Che Muhammad Azmi berkata, ada yang memandang remeh terhadap muzium kerana persepsi negatif sesetengah individu yang menganggap ia sekadar tempat mengumpulkan semua artifak dan koleksi barangan lama semata-mata.

“Itulah silapnya. Matlamat kunju-ngan ke mana-mana muzium sekalipun tidak akan tercapai sekiranya orang ramai tidak menghayati apakah makna dan sejarah di sebalik setiap koleksi yang dipamerkan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Meskipun sedar usaha menerapkan semangat nasionalisme itu bukanlah satu kerja yang mudah, namun beliau percaya ia mampu dicapai sekiranya semua pihak memainkan peranan melalui pelbagai medium agar rakyat Malaysia sentiasa mempunyai jati diri dan rasa cintakan tanah air yang kuat.

“Ia dizahirkan melalui kesatuan hati dan perpaduan antara kaum, hormat-menghormati keunikan budaya, bahasa, adat resam antara satu sama lain dan pada masa yang sama sentiasa kreatif dalam menongkah arus untuk mencipta sejarah sebagai bangsa yang gemilang dalam pelbagai aspek,” katanya.

Justeru, beliau sangat berharap agar orang ramai mengambil kesempatan sepanjang bulan kemerdekaan untuk berkunjung ke muzium dan menambah koleksi bacaan berkaitan kemerdekaan agar lebih menghargai sumbangan dan jasa generasi terdahulu yang berkorban darah, harta dan keringat untuk generasi masa kini. - Bernama