Tiga maut nahas kereta, lori

Anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa kemalangan di KM19 Jalan Lipis-Merapoh dekat Padang Tengku petang tadi.
Anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa kemalangan di KM19 Jalan Lipis-Merapoh dekat Padang Tengku petang tadi.
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Tiga mangsa maut selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori membawa muatan kelapa sawit dalam kejadian di Kilometer 19, Jalan Lipis-Merapoh dekat Padang Tengku di sini petang tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 5.17 petang itu, pemandu kereta jenis Proton Wira, Faizul Idzafi Azmi, 34, beralamat di Keterah, Kelantan meninggal dunia di tempat kejadian.

Dua lagi mangsa maut ialah penumpang kereta berkenaan yang juga merupakan adik-beradik, Mohamed Rozuan Mohamed Yusof, 32, dan Roziah Mohamed Yusof, 22, masing-masing beralamat di Bukit Jering, Jeli.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika kereta Proton Wira dalam perjalanan dari arah Kelantan menghala ke Kuala Lumpur manakala lori dari arah bertentangan.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, lori yang membawa muatan kelapa sawit itu dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta dinaiki mangsa.

"Akibat kejadian, pemandu dan dua penumpang belakang kereta Proton Wira maut di tempat kejadian.

"Seorang lagi penumpang kereta, Mohd Zulhelmi Mustafa, 25, dari Kampung Raja, Terengganu cedera parah manakala pemandu lori, Muhammad Zainal Abidin Mohd Noor, 29, tidak cedera," katanya.

Azli berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Lipis untuk proses bedah siasat manakala mangsa yang parah dihantar ke hospital sama untuk menerima rawatan.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.