X

Kindly register in order to view this article
!

Acryl Sani dilantik Timbalan Ketua Polis Negara

Hamzah (dua dari kiri) memakaikan pangkat kepada Acryl Sani pada Majlis Penyerahan Surat Pelantikan Timbalan Ketua Polis Negara di Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini.- Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara berkuat kuasa hari ini, umum Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata, pelantikan itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam selepas menerima nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis.

"Hari ini merupakan hari pertama kita meletakkan pemakaian bintang pangkat kepada Acryl Sani dan kita ucapkan tahniah dan syabas kepada beliau dengan kenaikan pangkat beliau, selepas mendapat perkenan Yang Dipertuan Agong," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Acryl Sani, 59, yang sebelum ini Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, mengambil alih jawatan Timbalan Ketua Polis Negara daripada Datuk Mazlan Mansor yang bersara wajib hari ini.

Beliau yang berkelulusan Sarjana Sains (Pengurusan) dari Universiti Utara Malaysia, menyertai Polis Diraja Malaysia pada 2 Februari 1986 sebagai Kadet Assistant Superintendent of Police (ASP), dan sepanjang perkhidmatannya dalam pasukan polis, beliau telah memegang pelbagai jawatan di peringkat daerah, negeri dan Ibu Pejabat Bukit Aman.

Antara jawatan yang pernah disandangnya adalah Pesuruhjaya Polis Sarawak, Ketua Polis Perak, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil dan Pengarah Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!