Bersatu Kelantan kekal utuh

Kamarudin (duduk, dua dari kanan) menegaskan Bersatu Kelantan kekal utuh dan semua 14 bahagian di negeri itu masih berfungsi dengan baik.
Kamarudin (duduk, dua dari kanan) menegaskan Bersatu Kelantan kekal utuh dan semua 14 bahagian di negeri itu masih berfungsi dengan baik.
A
A
A

PASIR PUTEH - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan kekal utuh dan semua 14 bahagian di negeri ini masih berfungsi dengan baik walaupun ada segelintir ahli yang menyatakan hasrat meninggalkan parti itu.

Pengerusinya, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, buat masa ini tiada sebarang cawangan atau bahagian di negeri ini terbubar ekoran tindakan ketua, timbalan atau ahli jawatankuasa yang keluar daripada parti.

"Bukan itu sahaja, saya masih belum menerima sebarang kenyataan rasmi daripada semua ketua bahagian yang berhasrat meletak jawatan dan keluar parti," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan mengatakan 11 pimpinan daripada 14 bahagian bersama 9,600 ahli Bersatu Kelantan telah bertindak keluar parti.

Menurutnya, tindakan itu tidak melibatkan kepimpinan utama di peringkat bahagian dan kebanyakan yang terlibat adalah golongan kalah pemilihan sebelum ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Bersatu Bahagian tidak terbubar walau semua AJK keluar parti

Kamarudin berkata, beliau cukup optimis seramai 38,000 ahli Bersatu yang berdaftar tidak akan meninggalkan perjuangan Bersatu.

"Proses membubarkan parti bukan mudah kerana ia perlu melalui pelbagai proses yang sah dengan merujuk kepada perlembagaan parti berlandaskan kepada Fasal 30.

Artikel Berkaitan:

"Sebagai contoh, cawangan dan bahagian perlu membuat persidangan khas terlebih dahulu.

"Dalam persidangan itu mereka perlu mendapat sokongan tiga per empat ahli berdaftar yang bersetuju untuk membubarkan parti dan ia wajib dirujuk ke peringkat negeri dan pusat," katanya.

Kamarudin berkata, parti tidak boleh terbubar menerusi perhimpunan yang tidak sah atau menerusi sidang media semata-mata.

"Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) mempunyai bidang kuasa untuk melantik jawatankuasa penaja bagi kawasan tertentu sekiranya wujud kebenaran cawangan atau bahagian lumpuh.

"Melihat kepada perkara ini saya ingin tegaskan Bersatu tetap hidup," katanya.