X

Kindly register in order to view this article
!

'Alhamdulillah, tiada kluster Najib tercetus'

Najib Tun Razak
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersyukur di atas ketiadaan wujudnya kluster jangkitan koronavirus (Covid-19) yang dikaitkan terhadap beliau sebelum ini.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata, sebelum ini terdapat kebimbangan disuarakan pihak-pihak tertentu kononnya kewujudan perhimpunan penyokong beliau pada hari keputusan penghakiman kes SRC International di Mahkamah Tinggi di sini pada 28 Julai lalu mampu mencetuskan kluster jangkitan baharu dipanggil 'Kluster Perhimpunan Najib'.

Menurutnya, kelegaan itu disuarakannya susulan hari ini merupakan genap 15 hari selepas kem penghakiman Mahkamah Tinggi yang menyaksikan beliau disabitkan atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd sekaligus menyaksikan tempoh inkubasi Covid-19 selama 14 hari sudah berlalu.

"Hari ini genap 15 hari selepas penghakiman mahkamah tinggi kes SRC (international) saya.

"Ini bermakna tiada kluster Najib tercetus sebab tempoh inkubasi Covid-19, 14 hari sudah berlalu. Alhamdulillah," katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya hari ini.

Di sebalik berita baik itu, Najib mengingatkan pengikutnya untuk tidak mengulangi kesilapan dilakukan pada hari beliau disabitkan kesalahan di mahkamah.

"Tapi kita jangan ulangi kesilapan hari itu. Kita perlu sentiasa mengamalkan SOP (prosedur operasi standard) demi kebaikan semua," katanya.

Pada 28 Julai lalu, Najib didapati bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa membabitkan dana SRC, bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang kini diletak di bawah Kementerian Kewangan.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa pihak pembelaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Berikutan itu, Najib dijatuhkan hukuman penjara keseluruhan selama 72 tahun dan denda RM210 juta susulan Mohd Nazlan memerintahkan kesemua hukuman penjara berjalan serentak.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!