X

Kindly register in order to view this article
!

Isu judi: Rekahan sistem penguatkuasaan punca ada pihak ambil kesempatan

Kamal Affandi ketika bercakap pada Wacana Sinar ke-186 bertajuk Isu judi: Fitnah atau Realiti? yang disiarkan secara langsung di Kumpulan Media Karangkraf di sini malam tadi. - Foto Sinar Harian MOHD IZARI ROSLI
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Rekahan yang wujud dalam sistem penguatkuasaan negara menyebabkan pihak-pihak tertentu mengambil kesempatan untuk melindungi kegiatan haram yang dilakukan.

Penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim berkata, kuasa yang dimiliki pihak berkuasa atau agensi penguat kuasa pada hari ini dilihat terpecah kepada banyak bahagian.

Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan ada sebahagian daripada mereka ini hanya bersikap mengharapkan rakan mereka daripada agensi berlainan melakukan tugas sedangkan mereka sendiri tidak berbuat demikian.

Menurutnya, keadaan itu juga timbul kerana rekahan undang-undang menunjukkan setiap pihak berkuasa itu ada bahagian masing-masing dalam penguatkuasaan undang-undang.

Justeru katanya, mungkin sudah tiba masa agar tugas ini diletakkan dalam satu bakul (pada satu tempat sahaja) untuk dijaga bagi memudahkan orang ramai membuat aduan jika terdapat aduan.

"Contoh isu judi, orang selalu bising kepada polis sebab kebanyakan kuasa atau akta dalam negara berkaitan ini banyak melibatkan polis.

"Sebenarnya, TNB (Tenaga Nasional Berhad) juga ada urusan dalam hal ini iaitu kuasa untuk memotong bekalan elektrik di premis, begitu juga PBT (pihak berkuasa tempatan) pula berkait isu pelesenan dan kesemua ini menunjukan terlalu banyak tindanan kuasa sehingga ia memberi ruang kepada sindiket judi untuk mengambil tempat dan peluang bagi menawarkan suapan," katanya pada Wacana Sinar ke-186 bertajuk Isu judi: Fitnah atau Realiti? yang disiarkan secara langsung di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di sini malam tadi.

Turut menjadi panelis Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan dan Pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid serta Azlan Shah Nabees Khan selaku moderator.

Kamal Affandi berkata, oleh itu beliau tidak terkejut jika isu kegiatan judi haram ini akan bersambung atau kembali beroperasi semula selepas ini.

Tegasnya, dalam menangani isu ini, pihak berkuasa dilihat sudah mencuba tetapi hanya boleh mengawal kerana sukar untuk membanteras, tambah lagi selepas pendedahan kegiatan judi haram oleh Mohd Asri, pasti sindiket ini akan meningkatkan jumlah suapan bagi memastikan mereka terus terlepas.

"Kes didedahkan Mohd Asri antara mudah dilihat kerana wujud premis di situ tapi bagi yang main atas talian dan tidak melibatkan wang fizikal ia sukar untuk dikesan.

"Jadi elemen undang-undang juga kena konsisten untuk beri taring kepada penguatkuasa untuk membuat kerja mereka," katanya.

Dalam pada itu mengulas persepsi masyarakat yang kini dilihat seolah-olah tidak lagi percaya kepada pihak berkuasa, Kamal Affandi berkata, untuk mengurus persepsi ia bukan mudah dan perlu mempunyai cara yang khusus untuk menanganinya.

Menurutnya, kegiatan naziran perlu dibuat dari semasa ke semasa untuk menunjukkan ia tidak berlaku, kedua mereka yang belot kepada raja dan negara perlu dikenakan tindakan disiplin atau tindakan berkaitan termasuk dihantar ke kursus pemulihan akidah.

Katanya, jika perkara itu boleh dibuat akan dapat meningkatkan integriti serta menangani segala persepsi negatif, sekaligus akan dapat menonjolkan imej yang lebih baik.

"Lagipun kita tak boleh label semua penguatkuasa/pihak berkuasa ini sama kerana mungkin 10 peratus sahaja dari 100,000 yang menyalahi undang-undang tapi baki selebihnya mereka melakukan tugas dengan baik, malah sedia berkorban dan terkorban untuk negara,"katanya.

Selain itu katanya, masalah intipati dalam komunikasi juga perlu diperbaiki agar tidak timbul prasangka kepada penguatkuasa atau pihak berkuasa.

"Kita perlu bersama-sama berusaha kerana Malaysia ini milik bersama, tidak kira anda penguat kuasa, pihak berkuasa atau pembuat polisi kita semua adalah masyarakat majmuk yang mencipta negara," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!