Nahas MPV: Saksi sayu terdengar jeritan, tangisan mangsa

Tujuh mangsa dilaporkan tersepit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Gambar kecil: Syazwan
Tujuh mangsa dilaporkan tersepit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Gambar kecil: Syazwan
A
A
A

SIMPANG PULAI - "Sayu hati bila dengar jeritan dan tangisan kanak-kanak dari dalam kenderaan, nampak tubuh mangsa saling bertindih kerana keadaan kereta sudah terbalik," kata seorang saksi kejadian, Syazwan Muhd Suhaimi, 21, susulan nahas dua kenderaan yang mengorbankan tujuh nyawa di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highland di sini, petang tadi.

Kejadian sekitar jam 5.30 petang itu membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza dinaiki 10 individu dipercayai sekeluarga dengan sebuah lori.

Pelanggaran dari arah bertentangan itu menyebabkan tujuh penumpang MPV maut di tempat kejadian sementara tiga lagi cedera, pemandu lori bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Syazwan berkata, kejadian itu berlaku betul-betul di hadapan gerainya menyebabkan kira-kira 10 pelanggan yang sedang makan lari ke arah kenderaan bagi membantu mangsa.

ARTIKEL BERKAITAN: Tujuh maut, Alza bertembung lori

"Kami terpaksa pecahkan cermin dan buka bahagian but untuk bantu keluarkan mangsa, hanya tiga mangsa termasuk dua kanak-kanak lelaki dapat dikeluarkan.

"Melihat mangsa saling bertindih dengan cedera teruk dan darah sana sini, kami tak berani nak ambil tindakan lanjut, takut keadaan menjadi lebih membahayakan mangsa," katanya.

Menceritakan detik kejadian, Syazwan berkata, dia mendengar bunyi hon panjang disusuli bunyi dentuman kuat dan suara jeritan mangsa.

"Selepas beberapa ketika hanya suara tangisan dan jeritan meminta tolong memenuhi suasana di lokasi kejadian, beberapa orang yang datang membantu sempat meminta mangsa istighfar dan mengucap," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dia berkata, ia adalah kejadian pertama berlaku di tempat itu sejak gerai berkenaan dibuka Disember lalu.

"Mujurlah ketika kejadian tidak banyak kereta lalu lalang, kalau tidak mungkin keadaan lebih teruk. Walaupun terkejut dengan kejadian ini, kami syukur dapat bantu mangsa yang terselamat," katanya.

Mohamad Sofi
Mohamad Sofi

Sehingga kini, identiti semua mangsa masih belum dikenal pasti, namun semua mangsa telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Ketika kejadian, semua mangsa dari arah Cameron Highlands ke Simpang Pulai dan dipercayai dalam perjalanan pulang ke Kedah.

Dalam pada itu, Komander Operasi Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Penguasa Bomba Mohamad Sofi Abdul Wahab berkata, mereka yang maut merupakan dua lelaki dewasa, tiga wanita dewasa, seorang kanak-kanak perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki.

"Tiga mangsa lain yang cedera pula adalah dua kanak-kanak dan seorang lelaki dewasa," katanya.

"Pasukan menggunakan peralatan menyelamat bagi mengeluarkan semua mangsa, ketujuh-tujuh mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan pada jam 6.40 petang.

"Kemalangan turut menyebabkan kesesakan lebih kilometer bagi memberi laluan operasi menyelamat dan kerja-kerja pembersihan di lokasi kejadian," katanya.