Lelaki bersenjata ditembak di luar Rumah Putih

Donald Trump (kanan) diiringi keluar dari satu sidang akhbar oleh seorang anggota Perkhidmatan Rahsia berikutan serangan di luar Rumah Putih, Washington semalam. - Foto AFP
Donald Trump (kanan) diiringi keluar dari satu sidang akhbar oleh seorang anggota Perkhidmatan Rahsia berikutan serangan di luar Rumah Putih, Washington semalam. - Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Pasukan Perkhidmatan Rahsia Amerika Syarikat (AS) menembak seorang lelaki bersenjata di luar Rumah Putih semalam, kata Presiden AS, Donald Trump.

Trump diiringi keluar secara tiba-tiba dari satu sidang media manakala ejen-ejen Perkhidmatan Rahsia yang berpakaian hitam dengan senjata api raifal automatik bergegas ke halaman utara di pejabat dan tempat tinggal pemimpin AS itu.

Beberapa minit kemudian, Trump datang semula pada sidang akhbar tersebut dan mengumumkan kepada para wartawan bahawa seseorang telah ditembak.

Pasukan Perkhidmatan Rahsia kemudian dalam satu kenyataan memaklumkan terdapat seorang pegawai terlibat dalam kejadian tembakan itu di 17th Street dan Lebuh Pennsylvania.

"Pasukan penguat kuasa menembak suspek yang kemudiannya dibawa ke hospital," kata kenyataan tersebut menerusi Twitter.

Trump berkata, beliau tidak mengetahui apa-apa tentang identiti dan motif lelaki tersebut ditembak.

Sementara itu, situasi di luar Rumah Putih tenang tetapi sebahagian kawasan ditutup dengan beberapa anggota polis dan beberapa kenderaan rasmi tertumpu ke arah penjuru 17th Street dan Lebuh Pennsylvania.

Dalam pada itu, seorang penunjuk perasaan yang berkhemah dekat Rumah Putih selama beberapa tahun, Philipos Melaku berkata, dia terdengar bunyi tembakan sekitar jam 5.50 petang waktu tempatan.

Artikel Berkaitan:

"Saya dengar satu bunyi tembakan disusuli jeritan suara seorang lelaki.

"Selepas itu, sekurang-kurangnya lapan atau sembilan lelaki bersenjatakan (raifal) AR-15 datang sambil berlari," katanya. - AFP