ADUN Kemasik nafi terbabit rasuah projek pasir

Saiful Azmi Suhaili
Saiful Azmi Suhaili
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Saiful Azmi Suhaili menafikan dakwaan yang tersebar dalam laman sosial mengaitkan dirinya dengan perbuatan rasuah berjumlah RM500,000 bagi kelulusan projek pasir di negeri ini.

Beliau berkata, tindakan selanjutnya akan diambil selepas meneliti butiran dan berbincang dengan peguam.

"Saya akan tengok dahulu (dakwaan yang tular) dan akan ambil tindakan sewajarnya selepas perbincangan bersama pihak peguam.

"Saya sendiri tidak tahu bagaimana boleh dikaitkan dengan isu ini dan hanya tahu mengenainya melalui Facebook,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Dakwaan rasuah membabitkan Saiful Azmi itu tersebar setelah beberapa tangkap layar yang didakwa perbualan melalui aplikasi WhatsApp antara seorang pegawai kanan institusi milik kerajaan negeri dengan seorang individu yang dipercayai seorang kontraktor.

Malah, perbualan itu turut dimuat naik dalam akaun Facebook 'Anwar Ibrahim PM Rakyat'

Dakwaan yang tular di media sosial. Gambar kanan: Tangkap layar yang didakwa perbualan dengan seorang individu yang dipercayai seorang kontraktor tular di media sosial.
Dakwaan yang tular di media sosial. Gambar kanan: Tangkap layar yang didakwa perbualan dengan seorang individu yang dipercayai seorang kontraktor tular di media sosial.

Dalam perbualan itu, pegawai kanan berkenaan didakwa memperkenalkan diri sebagai wakil bagi pihak ADUN Kemasik yang meminta imbuhan sebanyak RM500,000 sebagai syarat kelulusan projek pasir di Terengganu.

Artikel Berkaitan:

Ditanya mengenai perbualan tangkap layar berkenaan, Saiful Azmi menjelaskan bahawa beliau tidak mengetahuinya.

“Saya tidak tahu apa tujuannya, tetapi dalam politik ada yang tidak puas hati dan cari salah. Apa-apa pun tindakan selanjutnya akan diambil selepas meneliti isu ini," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Integrity & Strategic Studies Institute (T-ISSI), Nurul Islam Mohamed Yusoff yang dikaitkan sebagai pegawai kanan yang menjadi wakil kepada ADUN Kemasik itu, turut menafikan dakwaan berkenaan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Nurul Islam berkata, beliau hanya mengetahui tentang dakwaan tersebut setelah dimaklumkan oleh beberapa rakannya.

“Saya ingin menafikan tangkap layar tersebut dan bersedia bekerjasama dengan pihak berkuasa pada bila-bila masa sekiranya diperlukan,” katanya.