Kerajaan akan perluas penanaman kenaf

Mohd Khairuddin meninjau tanaman kenaf yang diusahakan penanam di Kampung Merchong selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Bantuan Prihatin Kenaf Peringkat Negeri Pahang di Kampung Merchong hari ini.
Mohd Khairuddin meninjau tanaman kenaf yang diusahakan penanam di Kampung Merchong selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Bantuan Prihatin Kenaf Peringkat Negeri Pahang di Kampung Merchong hari ini.
A
A
A

PEKAN - Kerajaan akan memperluaskan penanaman kenaf di seluruh negara termasuk di negeri-negeri pantai barat.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, setakat ini keluasan tanaman kenaf di seluruh negara sebanyak 1,977.36 hektar dan lebih tertumpu di negeri pantai timur melibatkan 1,357 penanam.

Menurutnya, daripada keseluruhan keluasan itu, 623.8 hektar di Pahang dengan 543 penanam.

"Kerajaan juga akan memberi tumpuan kepada negeri utara terutama Kedah dan Perlis bagi penanaman kenaf untuk tujuan penghasilan benih.

"Ia akan mengambil kira faktor cuaca di negeri berkenaan yang panas dan kering serta sesuai bagi penghasilan biji benih," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Bantuan Prihatin Kenaf Peringkat Negeri Pahang di Kampung Merchong di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Operasi) Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN), Idris Mohd Salleh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muadzam Shah, Ir Razali Kasim.

Mohd Khairuddin berkata, kerajaan yakin industri kenaf amat berpotensi dan wajar diperkasakan dengan meningkatkan pengeluarannya memandangkan ia mempunyai permintaan domestik yang tinggi selain faktor harga yang memuaskan.

Artikel Berkaitan:

Mohd Khairuddin menyaksikan demonstrasi proses tuaian kenaf selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Bantuan Prihatin Kenaf Peringkat Negeri Pahang di Kampung Merchong di sini hari ini.
Mohd Khairuddin menyaksikan demonstrasi proses tuaian kenaf selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Bantuan Prihatin Kenaf Peringkat Negeri Pahang di Kampung Merchong di sini hari ini.

"Ketika ini, harga untuk satu tan kenaf RM500 dan bagi setiap hektar hasilnya mencecah 10 tan untuk tempoh empat bulan.

"Rata-rata petani menanam antara satu hingga tiga hektar jadi pendapatan mereka untuk tempoh empat bulan mencecah RM5,000 hingga RM15,000," katanya.

Beliau berkata, setakat ini kerajaan tidak menerima sebarang aduan berhubung pengeluaran hasil kenaf dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PPKP).

"Tanaman kenaf ini diusahakan secara berkelompok dan tempoh tuaian rata-rata pada bulan Ogos ini. Justeru tiada isu hasil tidak dapat dituai dan sebagainya.

"Bagaimanapun kerajaan prihatin dengan nasib penanam yang turut terjejas ekoran penularan pandemik koronavirus (Covid-19), justeru kerajaan melalui LKTN memperuntukkan RM968,680 untuk diagihkan kepada 1,357 penanam kenaf seluruh negara.

"Bantuan ini merupakan inisiatif kerajaan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) bagi membantu penanam yang terjejas," katanya.

Katanya, daripada jumlah itu sebanyak RM311,900 diperuntukkan untuk diagihkan kepada 543 penanam kenaf di Pahang yang melibatkan kawasan tanaman seluas 623.8 hektar.

"Justeru kita galakkan lebih ramai petani terlibat dalam tanaman kenaf ini dan berdaftar dengan LKTN.

"Penanam yang berdaftar akan dibantu kerajaan melalui bantuan yang disediakan," katanya.