X

Kindly register in order to view this article
!

Ibu sambung PhD demi anak autisme

Nur Diana dan suami bersyukur Ahmad Aqasha kini menunjukkan banyak perubahan selepas mempraktikkan kaedah terapi ABA.
A
A

SEREMBAN - Seorang ibu di sini sanggup menyambung pengajian ke peringkat ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Psikologi Pendidikan dan Sains Sosial (Autisme) bagi membimbing anaknya yang berdepan masalah berkenaan.

Nur Diana Hamdan, 34, sebelum ini bekerja sebagai seorang pensyarah kewangan dan perbankan di sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) nekad berhenti kerja bagi memberi fokus kepada pengajiannya.

Menurutnya, pada mulanya beliau tiada niat untuk menyambung pengajian ke peringkat PhD, namun semuanya berubah selepas beliau banyak membuat kajian berkenaan autisme bagi membimbing anaknya Ahmad Aqasha Mirza Ahmad Azmar, 8.

"Disebabkan selalu buat kajian berkenaan autisme kerana mahu cari kaedah terbaik membantu pembelajaran anak saya, saya daftar sambung PhD.

"Sebelum itu saya tiada ilmu bagaimana hendak berdepan dengan anak autisme yang sikap mereka sukar dijangka terutama ketika tantrum. Saya pernah alami kemurungan selama setahun kerana masalah ini," katanya.

Dalam tempoh itu, Nur Diana sentiasa membuat kajian dan mencari maklumat di internet sehinggalah beliau menemui kaedah terapi Analisis Terapan Tingkah Laku (ABA) yang dilihat mampu memberi harapan kepada kanak-kanak autisme untuk menjalani kehidupan normal seperti insan lain.

Kurang setahun mempraktikkan terapi itu kini dia bersyukur anaknya menunjukkan banyak perubahan dan kini dapat menjalani rutin kehidupan dengan baik.

"Ketika berusia setahun, dia boleh sebut tiga perkataan saja iaitu mami, ayah dan atuk. Tapi masuk umur dua tahun, kata-katanya terus hilang dan ketika itu saya hanya mampu menangis.

"Selepas saya hilang suaranya hampir setahun, saya dapat dengar perkataan pertamanya iaitu 'roti' dan sejak itu sikit demi sedikit dia sudah boleh bercakap. Semuanya hasil terapi ABA yang saya praktikkan selain izin ALLAH," katanya.

Dia ditemui selepas menyampaikan ceramah di program Intervensi ABA Untung Mengatasi Masalah Tingkah Laku Anak Autisme di Institut Pendidikan Guru Raja Melewar di sini hari ini.

Menurutnya, kaedah terapi ABA ialah persiapan diri untuk anak-anak autisme belajar dari segi kontak mata, mendengar arahan dan seterusnya kepada gerakan.

Katanya, ia berbeza dengan kaedah terapi sensori integrasi (SI) yang biasa digunakan di negara ini iaitu terapi pertuturan dan cara kerja yang lebih merangsang saraf anak-anak autisme.

"Saya juga menggunakan kaedah SI tapi saya dapati kemajuan perkembangan anak saya agak perlahan berbeza bila saya mempraktikkan kaedah ABA.

"Sebab itu saya mahu berkongsi pengalaman dengan semua berkenaan kaedah ABA. Sebenarnya mahu merawat autisme ini mahal, kalau ibu bapa pun boleh buat sendiri di rumah, kenapa kita perlu cari di luar," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!