X

Kindly register in order to view this article
!

Pembela tolak cadangan inkues kedua kematian Adib

Aminuddin (tiga dari kanan) mengetuai sidang akhbar berhubung 20 tuntutan Pembela kepada kerajaan Perikatan Nasional yang diadakan di Hotel Putra hari ini.
A
A

KUALA LUMPUR - Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) menolak cadangan inkues kedua dibuat berhubung kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Pengerusinya, Aminuddin Yahaya berkata, cadangan inkues kedua tersasar daripada prinsip perundangan res judicata iaitu keputusan mahkamah muktamad dan tidak boleh dilakukan dua kali dalam satu perkara.

Menurutnya, Mahkamah Koroner menerusi inkues pertama telah mengemukakan secara jelas terdapat lapan pelaku jenayah yang menyebabkan kematian Adib.

"Dalam prosedur undang-undang sekiranya mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Koroner maka perkara yang perlu buat adalah dengan melakukan semakan kehakiman bukan inkues baharu.

"Jika dibuat inkues baharu sekiranya terdapat perkara yang tidak puas hati lagi, adakah akan dibuat inkues kali ketiga dan seterusnya maka isu tersebut tidak akan habis," katanya selepas mengadakan sidang akhbar berhubung 20 tuntutan Pembela kepada kerajaan Perikatan Nasional yang diadakan di Hotel Putra hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Inkues baharu kes Adib dibuka: KPN

Aminuddin berkata, kes kematian Muhammad Adib harus mengikut prosedur undang-undang yang lazim dan keputusan mahkamah harus dihormati.

"Adakah dengan mengadakan inkues baharu ini pihak kerajaan ingin memberi indikasi bahawa pengendali inkues pertama tak kompeten?

"Jika tidak kompeten sepatutnya ketika itu diberikan pegawai yang kompeten sehingga mendapat penemuan yang dilihat wajar oleh pihak kerajaan," katanya.

Isnin lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin ketika menggulung perbahasan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Rakyat memaklumkan kertas siasatan berhubung kes kematian Muhammad Adib telah dirujuk semula ke Jabatan Peguam Negara pada 23 Julai lepas.

Ia disusuli dengan beberapa cadangan termasuk membuka semula inkues untuk siasatan sekiranya mendapat persetujuan Peguam Negara.

Sementara itu, mengulas berhubung 20 tuntutan Pembela kepada kerajaan Perikatan Nasional katanya, Pembela bakal menyerahkan memorandum tersebut kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam masa terdekat.

Antara tuntutan yang disenaraikan adalah menggesa pihak kerajaan meneruskan kehakiman dan bertindak seadil-adilnya dalam kes berprofil tinggi, menyokong kempen Buy Muslim First (BMF) dalam usaha merapatkan jurang ekonomi antara kaum dan menghidupkan semula gerakan banteras aktiviti haram (Ops Bah) bagi membanteras pusat hiburan maksiat serta menaik taraf kedudukan Mahkamah Syariah.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!