RM624,035 untuk usahawan tani Muallim, Batang Padang

Ahmad (lapan dari kanan) menyampaikan bantuan peruntukan 2020 di bawah Program Pembangunan Pertanian bagi usahawan tani daerah Muallim dan Batang Padang.
Ahmad (lapan dari kanan) menyampaikan bantuan peruntukan 2020 di bawah Program Pembangunan Pertanian bagi usahawan tani daerah Muallim dan Batang Padang.
A
A
A

TANJUNG MALIM - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak 13 peratus di bawah Program Pembangunan Pertanian bagi usahawan tani daerah Muallim dan Batang Padang pada tahun ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, peruntukan berjumlah RM624,035 itu lebih tinggi berbanding RM550,079 disalurkan tahun lalu atas faktor pertambahan petani dan peningkatan hasil pengeluaran pertanian yang begitu ketara di kawasan berkenaan.

"Peruntukan ini melibatkan komoditi utama di daerah ini iaitu program Pembangunan Kluster Tanaman Kontan seperti keledek, sengkuang, tebu, labu, ubi kayu dan jagung iaitu sebanyak RM173,344.

"Bantuan Peningkatan Hasil Sayur sebanyak RM135,820, Program Tanam Semula Buah-buahan Terpilih seperti durian dan nangka (RM214,881), Pembangunan Kluster Tanaman Betik (RM19,990) dan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) sebanyak RM80,000.

"Selain menggalakkan pengeluaran hasil lebih tinggi, agihan ini penting bagi memastikan kualiti serta kuantiti hasil tanaman dapat diperkukuhkan untuk pasaran dalam dan luar negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Penyerahan Bantuan Peruntukan Tahun 2020 bagi daerah Muallim dan Batang Padang serta Perasmian Kursus Pertanian Bandar di Dewan Serbaguna Masjid Kuala Slim di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, Eliyas Saad; Exco Pertanian, Perladangan dan Sekuriti Makanan Perak, Datuk Abdul Yunus Jamahri dan Pengarah Pertanian Perak, Norsiyenti Othman.

Artikel Berkaitan:

Seorang penduduk Kampung Kuala Slim, Ahmad Shahabudin Abdul Rashid, 78, menerima kit bumi hijau disampaikan Ahmad (dua dari kanan) sempena Penyerahan Bantuan Peruntukan Tahun 2020 bagi daerah Muallim dan Batang Padang serta Perasmian Kursus Pertanian Bandar di Dewan Serbaguna Masjid Kuala Slim di sini hari ini.
Seorang penduduk Kampung Kuala Slim, Ahmad Shahabudin Abdul Rashid, 78, menerima kit bumi hijau disampaikan Ahmad (dua dari kanan) sempena Penyerahan Bantuan Peruntukan Tahun 2020 bagi daerah Muallim dan Batang Padang serta Perasmian Kursus Pertanian Bandar di Dewan Serbaguna Masjid Kuala Slim di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, peruntukan disalurkan tahun lalu telah memberi manfaat kepada 94 usahawan tani di daerah itu merangkumi seluruh kawasan pertanian seluas 1,552 hektar.

Katanya, hasil pengeluaran pertanian sahaja menyumbang sebanyak 27,080 tan dengan nilai pengeluaran lebih RM57.8 juta dan pulangan pelaburan bagi setiap RM1 yang diperuntukkan pula mendapat pulangan sebanyak RM105.

"Semua pencapaian ini melebihi dari sasaran kita kerana itu tahun ini, daerah ini menjadi antara kawasan yang diberi perhatian agar peruntukan diberi dapat memberi impak positif dan menjadi pencetus ke arah pembangunan sektor agromakanan yang lebih mapan.

"Sekurang-kurangnya kita nak melihat lebih ramai orang bersama dalam bidang pertanian, jika bukan secara besar-besaran, cukuplah secara kecil-kecilan di sekeliling rumah bagi membantu menampung keperluan harian," katanya.

Penerima bantuan, Pengerusi Jawatankuasa TKPM SKC Kuala Slim, Chong Chin Yoong berkata, peruntukan itu boleh digunakan bagi menampung kos tanaman semula sayuran dan buah-buahan selepas mengalami kerugian hampir 80 peratus disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Semasa PKP, kita akui mengalami kerugian teruk hanya sekitar 20 peratus sahaja hasil pengeluaran dapat dipasarkan manakala selebihnya rosak.

"Jadi dengan dana diberikan kerajaan ini, dapatlah kita susun semula pelan tanaman dan gunakan sebagai modal tanaman semula," katanya.