Lebih 70 peratus ahli Bersatu dijangka keluar parti

Muhyiddin, Dr Mahathir
Muhyiddin, Dr Mahathir
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lebih 70 peratus ahli akar umbi dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di semenanjung Malaysia dijangka meninggalkan parti itu dalam masa terdekat, sekali gus menjadikannya lumpuh.

Bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi berkata, jangkaan itu dibuat susulan keputusan Mahkamah Tinggi di sini mengenepikan kes saman bekas pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad dan empat Ahli Parlimen Bersatu yang dipecat parti ke atas Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan tiga pihak lagi hari ini.

Menurutnya, majoriti akar umbi Bersatu masih lagi kekal dalam parti itu sebelum ini meskipun tidak berpuas hati dengan tindakan pemecatan ke atas kem Dr Mahathir oleh parti pada 28 Mei lalu kerana berharap bekas Perdana Menteri itu akan kembali mengemudi Bersatu.

Empat pemimpin Bersatu berkenaan adalah bekas Timbalan Presiden, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; bekas Ketua Angkatan Armada Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; bekas Setiausaha Agung Bersatu, Senator Datuk Marzuki Yahya; bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dan bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir Amiruddin Hamzah.

"Bagaimanapun, keputusan terkini mahkamah melenyapkan sisa-sisa harapan akar umbi Bersatu dan saya menjangkakan sekurang-kurangnya 70 peratus daripada mereka akan meninggalkan parti bermula hari ini, terutama di kawasan semenanjung Malaysia.

"Cuma sentimen sama mungkin kurang di Sabah kerana Bersatu ditubuhkan di negeri itu selepas kemenangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14)," katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian hari ini.

Akhramsyah Muammar berkata, pengalaman sebagai ketua pendaftar keahlian Bersatu sebelum ini juga membolehkan beliau mengetahui pola sokongan akar umbi parti lebih memihak kepada Dr Mahathir.

Lebih menarik, ramai pemimpin Bersatu yang memegang jawatan parti di peringkat bahagian di seluruh negara turut difahamkan meletakkan jawatan parti serta-merta susulan mengetahui keputusan mahkamah yang tidak memihak kepada Dr Mahathir.

Artikel Berkaitan:

"Pengetahuan saya tentang pola pergerakan dan sokongan akar umbi Bersatu sebelum ini, boleh dikatakan majoriti ahli Bersatu di semenanjung Malaysia menyertai parti itu atas faktor Dr Mahathir.

"Dengan keputusan terkini mahkamah yang tidak memihak kepada kem Tun (Mahathir), mereka bakal memuktamadkan keputusan keluar parti kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan parti terutama Tan Sri Muhyiddin (Yassin).

"Bahkan di peringkat tertinggi parti, ramai pemimpin Bersatu yang berjawatan mula mengumumkan peletakan jawatan dalam parti dan kita jangkakan trend itu akan berterusan sehingga Dr Mahathir mengumumkan langkah terbaharu pada petang ini," katanya.

Di sebalik dakwaan Dr Mahathir akan mengumumkan penubuhan parti baharu, Akhramsyah Muammar tidak menolak kemungkinan rayuan tuntutan saman Dr Mahathir bersama empat plaintif lain ke atas Muhyiddin masih boleh diteruskan di peringkat perundangan yang seterusnya.

"Kalau Tun (Dr Mahathir) tidak kemuka rayuan, plaintif lain pun boleh. Tetapi segala langkah seterusnya akan diumumkan beliau kelak,"katanya.