795,437 kanak-kanak di Sabah terima vaksin polio

Seramai 795,437 atau 93.22 peratus kanak-kanak berusia 13 tahun dan ke bawah di Sabah telah menerima dos pertama vaksin bivalen oral Polio (bOPV) melalui Kempen Imunisasi Polio Sabah (KIPS). Foto: 123RF
Seramai 795,437 atau 93.22 peratus kanak-kanak berusia 13 tahun dan ke bawah di Sabah telah menerima dos pertama vaksin bivalen oral Polio (bOPV) melalui Kempen Imunisasi Polio Sabah (KIPS). Foto: 123RF
A
A
A

KOTA KINABALU - Seramai 795,437 atau 93.22 peratus kanak-kanak berusia 13 tahun dan ke bawah di Sabah telah menerima dos pertama vaksin bivalen oral Polio (bOPV) melalui Kempen Imunisasi Polio Sabah (KIPS) yang diadakan sejak Disember 2019 sehingga Rabu lepas.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr Christina Rundi berkata, jumlah berkenaan menunjukkan peningkatan sebanyak 0.94 peratus atau 7,406 kanak-kanak yang menerima vaksin berkenaan dalam tempoh seminggu.

“Bagi imunisasi bOPV dos kedua pula, setakat Rabu lepas bilangan kanak-kanak yang menerima vaksin berkenaan adalah seramai 730,807 orang melibatkan 85.65 peratus kanak-kanak berusia 13 tahun ke bawah di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, JKNS menyasarkan liputan imunisasi pada tahap 95 peratus bagi kanak-kanak berusia 13 tahun ke bawah untuk memastikan imuniti kelompok bagi menyekat penularan jangkitan polio.

Dr Christina berkata, setakat ini hanya tujuh daerah iaitu Ranau, Tambunan, Kuala Penyu, Beaufort, Kinabatangan, Kunak dan Nabawan telah mencapai 95 peratus liputan kanak-kanak menerima vaksin polio.

“Wabak polio akan dapat ditamatkan apabila imuniti kelompok dicapai iaitu liputan imunisasi melebihi 95 peratus,”katanya.

Sabah merekodkan empat kes polio sejak Disember tahun lalu iaitu dua kes di Sandakan dan masing-masing satu kes di Tuaran dan Kinabatangan. - Bernama

Artikel Berkaitan: