Debat buka ruang calon pembangkang

 Calon bertanding di PRK Cameron Highlands. -Foto Sinar Harian/SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Calon bertanding di PRK Cameron Highlands. -Foto Sinar Harian/SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

CAMERON HIGHLANDS - Pemerhati politik melihat platform debat antara calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands yang disiarkan secara langsung malam tadi sebagai catatan sejarah politik negara.

Felo Kanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Faisal S.Hazis berkata debat perdana itu memberi ruang kepada calon pembangkang menyampaikan misi masing-masing dalam pilihan raya ini.

"Debat ini sangat positif, apa sahaja hasil debat ini tidak penting tapi yang penting debat berjaya dijalankan. Kita harapkan debat ini akan dijadikan platform oleh kerajaan untuk calon-calon bertanding khususnya.

"Kita nak meraikan Malaysia baharu setiap calon diberikan hak yang sama untuk berkomunikasi dengan pengundi. Jadi saya fikir ini platform terbaik. Kita mahukan supaya pengundi di Cameron Highlands boleh melihat sendiri keupayaan calon dan mendengar sendiri perancangan calon," katanya ketika ditemui selepas mengendalikan Debat Perdana Calon PRK Cameron Highlands, di Tanah Rata, malam tadi.

Menurutnya, meskipun jumlah kehadiran tidak ramai, namun capaian siaran secara langsung itu boleh dibuat di mana-mana.

"Ini penganjuran pertama jadi jumlah kehadiran tidak penting. Apa yang penting ia disiarkan secara langsung melalui RTM. Ini tidak berlaku sebelum ini.

"Lebih penting lagi, ia membuka ruang kepada debat-debat yang akan datang untuk pilihan raya kecil dan pilihan raya umum nanti," katanya.

Meskipun bukan sebagai petunjuk bahawa politik negara sudah berubah kepada yang baharu, namun beliau menyifatkan ia sebagai langkah awal.

Artikel Berkaitan:

"Saya tidak berani mengatakan kita sudah berubah dari politik lama kepada politik baharu sebab politik lama sudah berakar umbi lebih enam dekad jadi nak ubah bukan boleh dibuat dalam masa singkat," katanya.

Malam tadi, tiga dari empat calon PRK Cameron Highlands hadir menjawab segala persoalan dan perancangan mereka untuk Cameron Highlands.

Namun calon BN, Ramli Mohd Nor tidak menyambut jemputan tersebut.