Banyak andaian bila Tun M turun Cameron Highlands

Orang asli suku kaum Semai kelihatan menyeberangi jalan yang dipenuhi dengan bendera parti politik sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.078 Cameron Highlands ketika tinjauan di Pos Betau. - Foto Bernama
Orang asli suku kaum Semai kelihatan menyeberangi jalan yang dipenuhi dengan bendera parti politik sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.078 Cameron Highlands ketika tinjauan di Pos Betau. - Foto Bernama
A
A
A

LIPIS - Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan andaian bahawa kehadiran singkat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam kempen PRK Cameron Highlands kerana tidak ketidakyakinan beliau terhadap peluang PH meraih kemenangan dalam PRK tersebut.

Presiden Bersatu itu memberitahu, kehadiran Tun Mahathir ke kawasan tersebut esok membuktikan sebaliknya.

"Tak begitu. Besok beliau (Tun) akan hadir. Biasanya Perdana Menteri tak pergi kempen-kempen kecil ini.. tapi kerana beliau fikirkan ini adalah PRK yang penting dan kita bertanding di sini.

"Dan calon kita pun ada, tentu masyarakat dan pengundi di sini mahu dengar apa pernyataan Tun, mesej sebagai Perdana Menteri.

"Jadi saya kira andaian itu tak berapa tepat kerana bagi kami dalam pakatan ini, macam saya pun turun walaupun tak berapa sihat,kita anggap setiap satu PRK itu penting,"katanya lagi.

Beliau ditemui pemberita selepas selesai menunaikan solat Maghrib, bacaan Yasin dan solat Isyak di Masjid Sultan Ahmad Shah Al Muhajirin, di Felda Sungai Koyan, malam ini.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Bersatu memberitahu, ada mesej yang ingin dibawa oleh Tun Mahathir dan ia menyebabkan ramai pimpinan parti baik dalam kerajaan atau tidak hadir bersama dalam kempen tersebut.

Tun Mahathir akan tiba pagi esok dengan pelbagai aktiviti dijadualkan bermula jam 12 tengah hari bersama warga Sungai Koyan 1, jamuan makan tengah hari dan solat Jumaat di masjid tersebut sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur selepas program berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, mengulas isu Tok-Tok Batin di kawasan itu "diculik" beliau memberitahu siasatan tidak boleh dilakukan jika tiada laporan polis dibuat.

"Dalam masa kempen ini macam-macam perkara boleh terjadi ataupun macam-macam kenyataan tapi kalau tiada bukti dan tiada asas ataupun laporan dibuat ke pihak berkuasa, polis ke siapa, siasatan tak boleh dilakukan, jadi kita tidak tahu apa keadaan sebenar," jelasnya.