JDT contoh terbaik model bola sepak Malaysia

Tunku Ismail (tengah) menjadi arkitek JDT yang berjaya membina empayar cukup gah di persada bola sepak tanah air.
Tunku Ismail (tengah) menjadi arkitek JDT yang berjaya membina empayar cukup gah di persada bola sepak tanah air.
A
A
A

KETIKA ini Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sedang giat ‘menswastakan’ kesemua pasukan Liga Malaysia (Liga-M) daripada persatuan bola sepak (FA) kepada kelab bola sepak (FC).

Dalam hal ini, ketegasan FAM dalam menyelesaikan isu tersebut amat dialu-alukan. Suka atau tidak, persatuan atau kelab yang terlibat harus menyelesaikan segera proses penswastaan sebagaimana diarahkan FAM.

Tanggal 30 September depan ditetapkan sebagai tarikh akhir menukar status FA kepada FC. Jika gagal, kemungkinan ada pasukan yang terpaksa ‘dihumban’ ke liga amatur iaitu Liga M3 musim depan.

Bagi peminat dan penyokong bola sepak tempatan, mereka tentu tertanya-tanya apa pentingnya pertukaran status FA kepada FC. Harus diakui penswastaan itu penting dalam memperkemaskan aspek pengurusan pasukan.

Lebih daripada itu, ia dilihat sebagai alternatif terbaik terhadap masalah kewangan yang dihadapi beberapa FA negeri ketika ini sehingga menyebabkan pembayaran gaji pemain dan pegawai pasukan tertunggak.

Lihat sahaja Kelantan dan Kedah. Masalah tunggakan gaji kedua-dua pasukan itu masih belum selesai. Sudah tentu, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dipertanggungjawabkan.

Apa sebab masalah itu berlaku? Sebabnya pengurusan pasukan yang lemah sehingga mengundang permasalahan tersebut. FAM boleh menghukum dengan pemotongan mata tetapi adakah ia memberi kesan? Kepada pihak yang berkenaan: tepuk dada tanya selera.

Jadi tindakan FAM mengarahkan pertukaran status daripada FA kepada FC harus dilihat dari sudut positif. Usahlah diremehkan lagi soal penting sebegini demi kebaikan semua pihak baik pemain, jurulatih mahupun pegawai pasukan.

Artikel Berkaitan:

FAM tidak boleh lagi berkompromi dengan mana-mana FA negeri atau kelab dalam menangani hal ini. Sudah sampai masanya setiap FA negeri mahupun kelab mengikut jejak langkah pihak pengurusan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Memang tidak keterlaluan jika dikatakan JDT sudah jauh berada di depan pasukan-pasukan Liga-M yang lain. Malah, JDT kini sudah boleh ‘berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah’ dengan kelab-kelab gergasi Asia.