Buruh Indonesia tidak mengaku bunuh rakan sekerja

Junianto dihadapkan ke Mahkamah Tinggi, hari ini, atas dakwaan membunuh rakan sekerjanya pada 12 Februari lalu.
Junianto dihadapkan ke Mahkamah Tinggi, hari ini, atas dakwaan membunuh rakan sekerjanya pada 12 Februari lalu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang buruh warga Indonesia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi, hari ini atas tuduhan membunuh rakan sekerjanya pada 12 Februari lalu.

Tertuduh, Junianto, 29, yang bekerja di ladang kelapa sawit membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Zukanain Abd Aziz, 39, yang merupakan warga tempatan di ladang kelapa sawit berhampiran sebuah pondok di Kampung Beril, Paka, Dungun pada jam 2.45 pagi.

Dengan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Selain tuduhan membunuh, tertuduh turut didakwa menyebabkan kecederaan parah ke atas isteri Zukanain, Rosnah Muhamed, 34, di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Junianto yang didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh kerana berdepan dakwaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan serta merupakan warga asing.

Mahkamah kemudiannya menetapkan tarikh 6 September depan bagi sebutan semula kes serta serahan dokumen.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan bagi kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amer Abu Bakar Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam, Azura Datuk Alias.

Terdahulu, media melaporkan seorang buruh ladang sawit mati ditetak dengan parang oleh rakan sekerjanya di sebuah rumah kongsi di kawasan ladang kelapa sawit Kampung Beril, Paka di Dungun.

Mangsa dari Kampung Bukit Nangka Santong, Paka mengalami kecederaan parah pada bahagian kiri leher sebelum disahkan meninggal dunia selepas hampir setengah jam menerima rawatan di Klinik Kesihatan Paka.