Pelantikan Agong: Senioriti tidak relevan lagi

Abdul Aziz pada sesi Sinar Live hari ini.
Abdul Aziz pada sesi Sinar Live hari ini.
A
A
A

IPOH - Elemen senioriti seorang raja atau sultan itu tidak lagi relevan bagi pelantikan sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Exco Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar yang juga seorang Sarjana Perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari berkata, berdasarkan sistem monarki atau raja berperlembagaan yang diamalkan di negara ini, pelantikan Yang di-Pertuan Agong adalah tertakluk kepada sistem penggiliran yang telah ditetapkan.

Malah menurutnya, sistem berkenaan telah dimulakan sejak 1957 sehingga 1994 lalu bagi pusingan yang pertama dan kemudiannya mulai 1994 sehingga hari ini bagi pusingan kedua.

“Tahun 1957 dahulu, Yang di-Pertuan Agong pertama iaitu Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan bukan yang paling senior. Yang paling senior ketika itu Sultan Johor dan Sultan Pahang, tetapi kepercayaan tetap diberikan kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

“Kenapa itu berlaku? Ini kerana Majlis Raja-Raja mungkin telah membuat ketetapan dan itulah sistem yang seterusnya. Susunan itulah yang digunakan untuk pusingan kedua dan dikekalkan.

“Sebelum ini dari Yang di-Pertuan Agong dari Kelantan, selepas itu Johor dan kemudian Perak. Turutan itu tetap,” katanya kepada Sinar Harian.

Abdul Aziz berkata demikian pada sesi Sinar Live di pejabatnya hari ini bagi mengulas berhubung pelantikan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin al-Mustafa billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 sebagaimana yang diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad setelah Majlis Raja-Raja selesai bermesyuarat di Istana Negara, hari ini.

Untuk rekod, Majlis Raja-Raja bermesyuarat setelah Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V meletakkan jawatan, 6 Januari lalu.

Artikel Berkaitan:

Tambah Abdul Aziz, tempoh pemilihan dan seterusnya pertabalan Yang di-Pertuan Agong itu adalah bagi tempoh lima tahun.

Bagaimanapun katanya, sekiranya tempoh lima tahun berkenaan habis atau sebaliknya, sistem penggiliran berkenaan akan tetap berjalan seperti biasa.

“Samada habis atau tidak lima tahun, itu soal lain. Kalau kita imbas kembali Yang di-Pertuan Agong pertama dahulu hanya tiga tahun lebih.

“Yang Di-Pertuan Agong kedua pula hanya beberapa bulan sahaja manakala bagi Yang Dipertuan daripada Selangor dan Kelantan pula tidak sempat untuk menghabiskan tempoh lima tahun berkenaan untuk kedua-dua pusingan,” katanya.

Sementara itu Abdul Aziz berkata, sistem penggiliran Yang di-Pertuan Agong ini pastinya mendapat liputan meluas di luar negara berikutan ia begitu menarik.

Sekali gus katanya, dengan menunjukkan proses penggiliran yang kemas serta mantap akan dapat membantu mempromosikan lagi sistem monarki yang masih diamalkan di negara ini.

“Ini satu nilai tambah untuk sistem monarki. Secara tidak langsung, ia menunjukkan bahawa perlunya sedikit pengetahuan, pengalaman khususnya dalam soal pemilihan Yang di-Pertuan Agong dan jugak peranan institusi itu sendiri,” katanya.