X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan kaji semula cadangan Lynas teruskan R&D condisoil:KJ

Khairy Jamaluddin. - Foto fail Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan mengkaji semula cadangan bagi syarikat Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) meneruskan penyelidikan dan pembangunan (R&D) residu penulenan air larut lesap (WLP) sebagai condisoil atau produk perapi tanah untuk kegunaan dalam bidang pertanian.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin bagaimanapun berkata, keputusan itu tertakluk kepada kelulusan jemaah menteri dan pihaknya akan mengekalkan perancangan memindahkan sisa itu kepada Kemudahan Pelupusan Kekal (PDF) sekiranya R&D itu tidak berjaya dikomersialkan.

“Keputusan Kabinet pada 12 dan 19 Februari lalu iaitu Lynas hendaklah menamatkan semua aktiviti R&D berkaitan penggunaan residu WLP sebagai condisoil dalam bidang pertanian ...tapi dalam tempoh kita menunggu PDF siap dibina, mungkin kita boleh teruskan dengan R&D itu.

“Sebab kalau didapati R&D untuk sisa WLP itu betul-betul boleh digunakan sebagai condisoil, apa salahnya kalau tiada kesan bahaya, kesan radioaktif dan sebagainya,” katanya dalam sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) sama ada kementerian bercadang untuk mengaktifkan semula R&D ke atas bahan buangan Lynas yang dilihat berpotensi untuk dikomersialkan sebagai kegunaan sektor pertanian.

Terdahulu, menjawab soalan Wong Tack (PH-Bentong) mengenai tapak yang telah diluluskan untuk membina PDF Lynas, Khairy berkata kerajaan negeri Pahang telah meluluskan pewujudan Tapak Pelupusan Sisa Industri Berjadual Pelbagai Kategori seluas 202.35 hektar di Bukit Ketam, Mukim Kuala Kuantan dan sedang dalam proses pewartaan secara rasmi kawasan itu.

Menurutnya, kerajaan negeri juga telah meluluskan permohonan Lynas untuk membina tapak PDF di mana-mana kawasan di dalam tapak pelupusan sisa industri itu yang hanya memerlukan 12 hektar iaitu enam peratus daripada keseluruhan kawasan yang akan diwartakan.

“Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) dalam mesyuaratnya pada 28 Julai telah meluluskan cadangan tapak itu tertakluk kepada kelulusan kajian Penilaian Kesan Radiologi (RIA), Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) dan lain-lain keperluan pihak berkuasa tempatan yang berkaitan.

“Laporan semua kajian itu perlu dikemukakan kepada pihak berkuasa berkenaan untuk penilaian sebelum kebenaran membina PDF dikeluarkan oleh AELB,” katanya.

Mengulas mengenai bila kawasan PDF itu boleh digunakan semula untuk aktiviti pembangunan, Khairy merujuk kepada kawalan institusi repositori Bukit Kledang, Ipoh bagi Nadir Bumi ASEAN dengan AELB telah menetapkan tempoh kawalan institusi selama 300 tahun,

“Kawalan institusi selama 300 tahun bagi repositori di Bukit Kledang bagi bahan radioaktif Nadir Bumi Thorium ASEAN. Jadi untuk Lynas ini, kita juga akan merujuk kepada pengalaman kita di Bukit Kledang,” jelasnya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!