Perkukuhkan PN untuk pembangunan Kelantan

Ahmad (dua,kiri) mengaminkan doa semasa merasmikan KM Tok Bali di Jeti Tok Bali Supply Base.
Ahmad (dua,kiri) mengaminkan doa semasa merasmikan KM Tok Bali di Jeti Tok Bali Supply Base.
A
A
A

PASIR PUTEH - Sokongan padu kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu terus diperkukuhkan bagi memastikan kestabilan politik negara berada pada tahap terbaik.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, kestabilan itu secara tidak langsung mampu merangsang pembangunan selepas kerajaan negeri dan Persekutuan berada dalam satu 'bahtera'.

"Bila ada dalam satu 'bahtera' kita boleh bincang dan usaha membangunkan Kelantan mampu dicapai menerusi kata sepakat.

"Tapi...kalau politik tidak stabil, kita tidak boleh jamin. Hal ini kerana (politik) boleh berubah pada bila-bila masa," katanya ketika ditemui semasa merasmikan KM Tok Bali di Jeti Tok Bali Supply Base di sini hari ini.

Ahmad turut meluangkan masa meninjau kelengkapan dan kemudahan di dalam kapal berkenaan yang digunakan untuk penugasan mengawal perairan negara.

Hadir sama Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kapten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob.

Menurutnya, kestabilan politik memainkan peranan penting menarik pelabur asing dan pemain industri untuk menanam modal di negeri ini.

Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata, kerajaan negeri telah mengemukakan cadangan supaya pangkalan barangan di Tok Bali Supply Base (TBSB) dinaikkan taraf kepada pelabuhan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kewujudan pelabuhan itu mampu membantu merancakkan industri maritim.

"Kita sentiasa membincangkan pembangunan di Tok Bali dengan kerajaan pusat menerusi pelan Pembangunan Ekonomi Wilayah Pantai Timur (Ecer).

"Bukan itu sahaja, Taman Perikanan Bersepadu (TPB) di Tok Bali turut dibangunkan dan setakat ini kita sudah berjaya menarik pelabur untuk merancakkan industri yang berkaitan di kawasan ini," katanya.