Tular video roboh gerai dodol

Tular di laman sosial Facebook mengenai aktiviti perobohan gerai dodol di Parit 7 Sungai Leman, di sini.
Tular di laman sosial Facebook mengenai aktiviti perobohan gerai dodol di Parit 7 Sungai Leman, di sini.
A
A
A

SEKINCHAN - Satu rakaman video tular memaparkan penguat kuasa Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Sabak Bernam melakukan kerja-kerja perobohan dipercayai sebuah gerai dodol di Tali Air 7, Sungai Leman di sini, semalam.

Menerusi video berdurasi 42 saat itu, sebuah kenderaan dipercayai pacuan empat roda digunakan bagi operasi merobohkan struktur gerai terbabit.

Sebuah laman sosial Facebook popular di daerah ini memuat naik status rakaman visual berkenaan.

Sehingga jam 5.00 petang tadi, sebanyak 166 pengendali Facebook menyukai status itu dan menerima sebanyak 131 komen, 15 perkongsian dan sebanyak 6,700 tontonan.

Seorang pengendali Facebook menggunakan akaun nama Fajar Bin Mohd Mosleh berkata, semua gerai di sepanjang projek Jalan Persekutuan (FR5) sepatutnya dirobohkan.

“FR5 ini tarafnya (seperti) lebuh raya. Ada nampak gerai penjaja tepi lebuh raya?,” tulisnya.

Seorang pemilik akaun nama, Shahrin Azhar Rasidi berkata, dia bersama ibunya adalah pengusaha dodol terbabit dan notis perobohan diterima mereka pada hujung 2016, selain diberi peringatan perobohan pada minggu lalu.

“Kami terima dan tidak menyalahkan pihak PTD Sabak Bernam. Cuma dah berniaga dari tahun 2000 terasa bila gerai dirobohkan.

Artikel Berkaitan:

“Gerai masih dibuka buat sementara waktu sambil menunggu kedai yang lebih elok dalam proses pembikinan (pembinaan),” katanya.

Setiausaha Persatuan Mentarang Sekinchan, Rohaya Husin berkata, selain gerai dodol yang tular itu, sebanyak empat gerai mentarang sekitar Sekinchan menerima nasib sama.

Menurutnya, rata-rata peniaga yang hanya bergantung kepada sumber pendapatan itu bagi menyara keluarga masing-masing kecewa dengan tindakan penguatkuasaan terbabit.

“Saya berpendapat tindakan merobohkan struktur gerai ini jalan terakhir dan tidak perlu dibuat dengan tergesa-gesa. Sejak dulu lagi kami dah berniaga di sini. Sepatutnya perlu ada tolak ansur daripada pihak berwajib,” katanya.

“Kami minta pertemuan diadakan antara penjaja dan PDT Sabak Bernam. Kami tidak mahu Sabak Bernam yang terkenal dengan produk makanan mentarang ini terus lenyap akibat tindakan seperti ini,” katanya.

Sementara itu, PDT Sabak Bernam dijangka membuat kenyataan media dalam waktu terdekat.