Dari awan biru ke motocross

Kecintaan Jun kepada sukan ekstrem begitu mendalam
A
A

Bekas pramugari minat sukan ekstrem

Kecintaannya yang mendalam dalam dunia permotoran menjadi antara penyebab gadis tinggi lampai ini meninggalkan kerjaya di awan biru sebagai pramugari.

Selama 11 tahun bertugas di AirAsia, Juninah Sharail, 40, atau lebih mesra disapa Jun merasakan ada sesuatu kekurangan dalam hidupnya yang masih tidak lengkap.

Menurutnya, kehidupannya sebagai pramugari begitu terhad dari segi masa dan dia terpaksa mengetepikan minat dan hobinya lantaran kesibukan tugasnya di awan biru.

“Saya dah rasa bosan dengan apa yang saya buat, saya tak rasa saya makin pandai seperti insan lain yang di luar sana.

“Banyak perkara saya nak terokai, selagi saya berada di awan biru selagi itu kehendak saya terbatas,” katanya kepada Femina.

Ketika berusia 33 tahun, katanya, dia jatuh cinta kepada dunia permotoran hingga sanggup berkonvoi bersama rakan-rakan lain sampai ke Hatyai, Thailand.

“Saya bermula dengan motosikal berkuasa besar Ducati Monster diikuti BMW Hp4 Competition.

“Saya rasa puas menunggang motosikal bersama rakan-rakan sambil menikmati keindahan alam semula jadi sepanjang perjalanan ke tempat yang dituju,” katanya yang kini menunggang BMW GSA1200 LC.

Tidak lama kemudian dia mula beralih kepada sukan ekstrem, motocross yang dilihat lebih mencabar mental dan fizikal, sukan itu juga begitu dekat dengan alam semula jadi kerana ia tertumpu di kawasan hutan dan berbukit.

“Saya pencinta alam semula jadi, sukan ini lebih dekat di hati saya kerana aktivitinya tertumpu di kawasan hutan, bukit, sungai dan dipenuhi pokok-pokok hutan yang menyegarkan mata dan minda saya.

“Pantang ada waktu terluang, saya dan rakan-rakan akan ke Kampung Kemensah, Ampang Jaya, Selangor untuk mengikuti aktiviti lasak ini termasuk menyertai pertandingan yang melibatkan motocross,” katanya yang memenangi tempat kelima daripada lapan peserta dalam Bukit Besi Enduro Championship di Terengganu, baru-baru ini.

Bergelar pramugari

Menceritakan berkenaan pembabitannya di awan biru, anak kelahiran Klang, Selangor itu berkata, sebaik berjaya menamatkan pembelajaran di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), dia menyahut saranan bapanya agar menyertai sesi interviu yang dikendalikan AirAsia untuk menimba pengalaman.

“Ketika itu umur saya 23 tahun, saya pergi interviu di syarikat penerbangan untuk jawatan pramugari, saya diterima bekerja di syarikat yang baru bertapak di negara ini.

“Pada masa itu, AirAsia sebuah syarikat baru di negara ini, jadi persaingan tak banyak. Jadi saya senang dapat kerja di situ,” kata lepasan Ijazah Komunikasi Organisasi itu.

Menurutnya, selepas lapan tahun menyertai penerbangan tempatan, dia kemudiannya beralih kepada AirAsia X yang membabitkan penerbangan antarabangsa.

“Tiga tahun saya bertugas, puas saya merantau ke banyak negara. Namun jiwa saya rasa kosong dan hidup saya masih tak puas.

“Saya mula terfikir untuk berhenti kerja dan mencari sesuatu yang kena dengan minat dan jiwa saya,” katanya.

Berhenti tugas di awan biru

Justeru, Juninah mengambil keputusan untuk berhenti kerja meskipun belum memperoleh sebarang pekerjaan lain.

“Saya nekad untuk berhenti kerja, masa itu saya tak rancang apa-apa sama ada nak sambung belajar atau cari kerja lain.

“Saya beritahu emak dan ayah berkenaan hasrat saya itu, mereka setuju dan menyokong setiap apa yang saya lakukan,” katanya.

Hasil bantuan rakan-rakan, katanya, tidak lama selepas itu dia ditawarkan pekerjaan dalam bidang pengurusan majlis oleh sebuah syarikat yang banyak mengurus pertandingan berbentuk golf dan sebagainya.

“Selepas dua tahun, saya beralih arah pula sebagai pembantu peribadi kepada seorang Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat konsesi Tol yang terkenal bermula Mac lalu,” katanya yang hingga kini masih bertugas dengan syarikat itu.

Buka Rocx Enduro Malaysia

Lantaran minat yang begitu mendalam dalam bidang permotoran, Juninah bersama empat rakan yang mempunyai minat yang sama menubuhkan Rocx Enduro Malaysia di Qandang Extreme Park di Kampung Kemensah, Ampang Jaya awal tahun ini.

“Sambutannya amat menggalakkan, ia adalah penghargaan kami kepada peminat sukan ini serta penduduk kampung yang banyak memberi sokongan kepada sukan ini.

“Tujuan kami mulakan Rock ni untuk pastikan orang Kampung Kemensah dapat balik apa yang kami nikmati di kampung itu, tambahan kami orang luar yang setiap minggu main motor dalam hutan kampung berkenaan.

“Jadi kami satukan motor-motor yang ada ini dengan menyewakannya kepada orang ramai, kami juga ambil orang kampung bekerja dengan kami,” katanya.

Melihatkan sambutan yang menggalakkan, katanya, dia dan rakan-rakan berhasrat untuk membuka cawangan Rocx Enduro Malaysia di Sabah dalam masa terdekat.

Beliau berkata, sukan ekstrem ini banyak dimonopoli oleh kaum lelaki yang cintakan cabaran mental dan fizikal.

“Saya nampak wanita pun minat cuma jumlahnya masih rendah. Wanita mungkin anggap sukan ini tak sesuai dengan karakter mereka yang terkenal dengan lemah lembut dan sebagainya.

“Ketepikan perasaan itu, kena cuba dahulu baru tahu. Mana tahu jika ada bakat yang terpendam.

“Setakat ini ramai kaum ibu yang sertai sukan ini di sini, mula-mula memang takut tetapi lama-kelamaan jadi minat,” katanya.

Katanya lagi, jangan takut aktiviti ini akan menghiburkan dan menjanjikan pengalaman yang berharga buat anda semua.

“Kita memang utamakan ciri-ciri keselamatan dengan memakai alat perlindungan yang mencukupi, tetapi jika kejadian yang tidak diingini berlaku itu sudah ketentuan ALLAH,” katanya.