X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Piala AFF 2020 ditunda ke tahun hadapan

Khiev Sameth
A
A

PERSEKUTUAN Bola Sepak ASEAN (AFF) mengambil keputusan menangguhkan Kejuaraan Bola Sepak Piala Suzuki AFF 2020 ke 2021 berikutan peningkatan jumlah kes Covid-19 di rantau ini dan seluruh dunia.

Presiden AFF, Mejar Jeneral Khiev Sameth berkata, keputusan itu dibuat selepas Jawatankuasa Pasukan Petugas Piala Suzuki AFF mengadakan perbincangan secara maya dengan ahli gabungannya.

Katanya, badan pentadbir bola sepak itu telah mempertimbangkan beberapa faktor termasuk keselamatan dan kesihatan semua pihak, khususnya pemain, jurulatih, rakan kongsi, peminat dan orang ramai, sebelum membuat keputusan.

"Sejak bermulanya penularan Covid-19, AFF telah memantau panduan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Kementerian Kesihatan, agensi kerajaan, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC)," katanya dalam satu kenyataan.

"Seperti yang anda sedia maklum, pandemik ini terus memberi cabaran yang sangat besar khususnya dari segi kesihatan, sosial dan ekonomi kepada kita semua. Keutamaan AFF adalah kesihatan dan keselamatan keluarga bola sepak kita dan mengurangkan kesan pandemik ini. Dengan risiko penularan Covid-19 yang semakin meningkat, AFF tidak boleh meneruskan Piala Suzuki AFF 2020," kata Sameth.

Menurutnya, AFF akan terus bekerjasama erat dengan ahli gabungan dan rakan kongsi mereka untuk memantau situasi pandemik dan akan memberikan maklumat terkini mengenai tarikh dan perincian lain berkaitan edisi 2021 Piala AFF Suzuki.

Sementara itu, Presiden Sportfive bagi Asia Pasifik Adrian Staiti yang juga rakan kongsi komersial eksklusif untuk Piala AFF Suzuki menyambut baik keputusan yang dibuat AFF dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua pihak yang terlibat dalam kejohanan bola sepak dwitahunan itu.

"Walaupun kami agak kecewa kerana tidak dapat mengadakan kejohanan itu tahun ini, kami akan sentiasa bekerjasama dengan AFF untuk memantau keadaan dan berharap dapat bekerjasama dengan rakan-rakan kongsi kami untuk menganjurkan kejohanan yang terbaik untuk peminat di rantau ASEAN tahun depan," kata Staiti.

Berdasarkan jadual awal, Kejohanan Bola Sepak Piala AFF Suzuki 2020 dijadualkan berlangsung dari 23 November hingga 31 Disember menggunakan format timbal balik seperti yang diperkenalkan pada 2018.

Thailand adalah pasukan paling cemerlang dalam pentas Piala Suzuki AFF dengan muncul sebagai juara sebanyak lima kali iaitu pada 1996, 2000, 2002, 2014 dan 2016.

Sementara Malaysia muncul sebagai juara pada 2010 di bawah bimbingan bekas ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Datuk K. Rajagobal.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!