Al-Sultan Abdullah bawa Piala Dunia Remaja ke Malaysia

Al-Sultan Abdullah. Gambar kecil: Al-Sultan Abdullah (Kanan) yang ketika itu sebagai Pengerusi Penganjur Piala Dunia Remaja FIFA 1997 bersama Presiden FIFA, Joao Havelange dan Almarhum Sultan Ahmad Shah (ktika itu Sultan Pahang dan Presiden FAM) pada upacara final pasukan Argentina menjulang Piala Dunia Remaja selepas tewaskan Uruguay 2 -1 di Stadium Shah Alam.
Al-Sultan Abdullah. Gambar kecil: Al-Sultan Abdullah (Kanan) yang ketika itu sebagai Pengerusi Penganjur Piala Dunia Remaja FIFA 1997 bersama Presiden FIFA, Joao Havelange dan Almarhum Sultan Ahmad Shah (ktika itu Sultan Pahang dan Presiden FAM) pada upacara final pasukan Argentina menjulang Piala Dunia Remaja selepas tewaskan Uruguay 2 -1 di Stadium Shah Alam.
A
A
A

RAKYAT sedia maklum dengan keperibadian Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah. Terkenal dengan sifatnya yang gemar menyantuni rakyat, baginda sentiasa merendah diri.

Malah, kelibat Al-Sultan Abdullah sentiasa disenangi masyarakat tanpa mengira kaum setiap kali mencemar duli.

Sepanjang pemerintahan Al- Sultan Abdullah, keperibadian baginda meninggalkan kesan di hati rakyat sebagai raja berjiwa rakyat, berhemah, merendah diri dan pandai berjenaka.

Justeru, rakyat turut menyedari bahawa minat Al-Sultan Abdullah yang turut dikenali sebagai penyokong tegar Arsenal, dalam sukan bola sepak bukan lagi rahsia.

Namun di sebalik kecintaan baginda terhadap sukan bola sepak, masih ramai tidak mengetahui bahawa pembangunan akar umbi adalah kepuasan tertinggi buat Al- Sultan Abdullah.

FAM dan Almarhum Sultan Ahmad Shah, ketika itu Sultan Pahang dan Presiden FAM, adalah dua tokoh yang bertanggungjawab membawa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) Piala Dunia Remaja Edisi ke-11 pada tahun 1997 ke bumi Malaysia sebagai tuan rumah.

Penulis ingin berkongsi antara pengalaman berharga sepanjang 25 tahun membuat liputan membabitkan acara baginda ketika baginda memegang jawatan dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Tidak ramai tahu bahawa baginda ketika itu Timbalan Presiden Malaysia layak buat pertama kali selaku tuan rumah dan kejayaan menjadi tuan rumah itu adalah hasil usaha keras Almarhum Sultan Ahmad Shah dan Al-Sultan Abdullah.

Artikel Berkaitan:

Ternyata gandingan Almarhum Sultan Ahmad Shah dan Al-Sultan Abdullah antara elemen utama mengapa Piala Dunia Remaja dapat dilaksanakan bukan sahaja pertama di Malaysia tetapi di Asia Tenggara.

Bagi penulis ia adalah antara kejayaan paling besar Al-Sultan Abdullah sepanjang penglibatan baginda dalam dunia bola sepak.

Ketika itu kejohanan Piala Remaja Dunia 1997 antara paling besar buat negara Malaysia sebelum menjadi hos Sukan Komanwel 1998 dan Formula One (F1) Sepang pada 1999.

Tahun 1997: Perjanjian rasmi antara Al-Sultan Abdullah yang mewakili FAM dan Pengarah Urusan TV3 semasa itu, Zahari Omar untuk hak penyiaran dan latar belakang maskot rasmi kejohanan.
Tahun 1997: Perjanjian rasmi antara Al-Sultan Abdullah yang mewakili FAM dan Pengarah Urusan TV3 semasa itu, Zahari Omar untuk hak penyiaran dan latar belakang maskot rasmi kejohanan.

Tiga tahun cabaran yang dilalui Al-Sultan Abdullah ketika itu sebelum kata putus Malaysia sebagai hos.

Selain kejayaan itu, sentuhan Almarhum Sultan Ahmad Shah dan Al-Sultan Abdullah juga berjaya mengubah nasib bola sepak Malaysia selepas mengangkat status kepada Semi pro Liga Malaysia 1989 dan diangkat menjadi profesional sepenuhnya demi kegemilangan bola sepak negara.

Malah kejohanan Piala Remaja Dunia 1997 itu bermula dari 16 Jun sehingga 5 Julai di mana FIFA melaporkan selepas tamat kejohanan tersebut Malaysia diangkat menjadi salah satu penganjur terbaik pada masa itu.

Sehingga sekarang rekod kekal Malaysia sebagai hos terbaik.

Turun padang

Penulis masih ingat ketika sesi temuramah bersama Sultan Ahmad Shah semasa kejohanan piala remaja dunia 1997, Tuanku bertitah, “Ini adalah hasil kerja keras anakanda saya (Al-Sultan Abdullah). Beliau layak mendapat pujian.”

Namun di sebalik kejayaan cukup besar itu, Al-Sultan Abdullah tidak sesekali pernah mendabik dada sebaliknya Seri Paduka sentiasa kekal merendah diri.

“Ini adalah kejayaan untuk rakyat Malaysia, bukan sahaja untuk FAM tetapi kerja keras daripada semua pihak untuk mendapatkan slot tuan rumah bagi pemain belia terbaik dunia di pentas Malaysia.

“Ia satu kepuasan sebab kami benar-benar bekerja keras untuk dapat hak sebagai tuan rumah. Ia satu sejarah gemilang buat bola sepak Malaysia. Saya berterima kasih pada Sultan Ahmad Shah (ketika itu Sultan Pahang dan Presiden FAM yang banyak memberi tunjuk ajar kepada saya dalam proses mendapatkan hak tuan rumah.

“Tidak lupa juga kesemua 23 negara lain selain Malaysia sendiri menyiarkan siaran langsung perlawanan negara masing-masing dan nama Malaysia ketika itu mendapat tempat,” ujar Seri Paduka yang dipetik pada tahun 1997.

Ketika itu, buat pertama kali Piala Dunia Remaja memperkenalkan 24 pasukan di mana sebelum ini hanya 16 pasukan sahaja bertanding. Argentina muncul sebagai juara pada edisi itu selepas menundukkan Uruguay 2-1 dalam aksi final di Stadium Shah Alam yang turut dihadiri mantan Presiden FIFA, Joao Havelange dan Setiausaha Agung FIFA, Stepp Blatter yang kemudian menjadi Presiden FIFA.

Buku cenderamata Piala dunia Remaja FIFA 1997.
Buku cenderamata Piala dunia Remaja FIFA 1997.

Selepas kejohanan yang berlangsung di Malaysia itu, peminat dapat menyaksikan ramai pemain muda telah diangkat menjadi bintang dunia antaranya penyerang England, Michael Owen; David Trezeguet (Perancis), Pablo Aimar (Argentina) dan Thiery Henry (Perancis).

Penulis juga masih mengingati ketika itu penulis ditugaskan membuat liputan Piala Dunia Remaja di Stadium Darul Makmur, Kuantan yang melibatkan pasukan Jepun, Costa Rica, Paraguay dan Sepanyol.

Sementara itu, venue-venue di lokasi berbeza adalah di Stadium Alor Star, Kuching, Kangar, Johor Bharu dan Shah Alam.

Perasmian FIFA Piala Dunia telah dilakukan oleh Pemangku Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Stadium Shah Alam pada 16 Jun 1997.

Hendak dijadikan cerita pada suatu petang semasa perlawanan persahabatan di antara pasukan Costa Rica dan skuad Piala Emas Raja-Raja Pahang sebelum kejohanan bermula, muncul kelibat Range Rover secara tiba-tiba di padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), di hadapan Masjid Negeri yang menjadi venue sesi latihan pasukan-pasukan berkenaan.

Penulis terkejut apabila sosok yang keluar dari kenderaan itu ialah Al-Sultan Abdullah yang ketika itu Tengku Mahkota Pahang.

Ternyata Al-Sultan Abdullah telah menunjukkan sikap terpuji apabila Seri Paduka sendiri menunjukkan komitmen tinggi selepas turun pandang bagi memastikan keadaan padang dan segala aspek tersusun dalam keadaan terbaik.

“Saya buat spot check ini. Nak pastikan semua okay, padang dan lain-lain,” secara spontan Seri Paduka bertitah.

Itu sifat Al-Sultan Abdullah yang dilantik sebagai Tengku Mahkota Pahang pada usia 16 tahun pada 1 Julai 1975 yang sentiasa menitikberatkan persediaan dalam kesemua perkara bagi memastikan imej Malaysia terjaga sepanjang menjadi tuan rumah kejohanan Piala Dunia Remaja.

Sebenarnya begitu banyak sikap positif yang ditunjukkan Al-Sultan Abdullah yang penulis tidak cukup ruang untuk kongsikan. Penulis yakin rakyat senantiasa merindui kelibat Al-Sultan Abdullah ketika menjadi Timbalan Presiden, Presiden FAM termasuk Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHF).

Ketokohan Seri Paduka bukan sahaja disegani dalam negara sebaliknya diperakui oleh seluruh dunia selepas Al-Sultan Abdullah dilantik sebagai Presiden Persekutuan Hoki Asia dan Presiden Persatuan dan juga Naib Presiden Asian Football Confederation (AFC) dan Polo Diraja Malaysia.

Menjadi inspirasi Seri Paduka untuk melihat pasukan bola sepak Malaysia layak ke Piala Dunia 2030, seperti dizahirkan Al-Sultan Abdullah dalam temu ramah dengan media sebelum ini.

Akhir kata, izinkan patik merafak sembah dan setinggi-tinggi ucapan tahniah kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, sempena

Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ke-61.

Semoga ALLAH SWT melimpahkan segala kurniaNya, rahmatNya dan diampunkan dosa serta dipanjangkan usia ke atas Tuanku. Sembah takzim daripada patik, Mohd. Fariq. Ampun Tuanku.

(Al-Fatihah kepada AlmarhumSultan Ahmad Shah)

TRIVIA

(Antara jawatan Al-Sultan Abdullah dalam sukan)

1. Menjadi Pengerusi Penganjur FIFA Piala Dunia Remaja Bawah 20 1997 selain pernah dilantik Anggota Jawatankuasa Eksekutif FIFA.

2. Dianugerahkan AFC Diamond of Asia pada November 2019 sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan Seri Paduka selama lebih tiga dekad terhadap permainan bola sepak di benua Asia.

3. Pernah menjadi ahli Jawatankuasa Teknikal FIFA pada tahun 1995, Jawatankuasa Pemuda FIFA dan Jawatankuasa Penganjur Konfederasi Piala FIFA di Perancis pada tahun 2003.

4. Dipilih ke Majlis FIFA pada tahun 2015 sehingga 2019.

5. Presiden Hoki Malaysia (MHF).

**Mohd. Fariq merupakan penulis bolasepak dengan lebih 20 tahun pengalaman.