X

Kindly register in order to view this article
!

Duta Belgium optimis Luqman bawa sinar

Luqman Hakim
Luqman Hakim bakal meneruskan kariernya bersama kelab KV Kortrijk.
A
A

DUTA Belgium di Malaysia, Pascal H. Gregoire menyifatkan perpindahan Luqman Hakim Shamsudin ke KV Kortrijk menjadi pembuka jalan kepada hubungan kedua-dua negara itu menjadi lebih baik.

Menurutnya, hubungan itu turut akan memberi manfaat kepada bola sepak Malaysia dan Belgium selepas penghijrahan Luqman Hakim ke bumi Eropah itu nanti.

“Di Kedutaan Belgium di Malaysia dan juga rakan-rakan kami yang hebat di Kedutaan Malaysia di Brussels, kami sangat teruja dengan berita baik ini dan mula mengikuti perkembangan tentang perkara ini dengan lebih rapat.

“Luqman adalah seorang pemain muda yang sangat berbakat dan meyakinkan. Saya pun yakin bahawa perpindahan dia ke KV Kortrijk akan membawa faedah buat kedua-dua pihak bola sepak Belgium dan Malaysia.

“Ini akan memberi pendedahan dan pengalaman peringkat antarabangsa yang diperlukan buat Luqman Hakim kepada kerjaya yang akan membawa ke arah masa depan yang cerah.

“Dengan penglibatan bersama taikun berwawasan merangkap pemilik KV Kortrijk seperti Tan Sri Vincent Tan, saya yakin Luqman Hakim akan mencetuskan hubungan yang lebih erat antara komuniti bola sepak di negara kita, bermula dari dasar peminat bola sepak.

“Mudah-mudahan, langkah ini dapat menarik minat peminat bola sepak Malaysia untuk Liga Pro Jupiler Belgium dan dalam masa yang tidak terlalu jauh, peminat Malaysia dapat menonton perlawanan pasukan Belgium menerusi saluran televisyen tempatan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Dalam perkembangan sama, H. Gregoire berharap kedutaan Belgium di Malaysia dapat membantu memastikan harapan dan cita-cita Luqman Hakim untuk bermain di Belgium akan berjalan seperti yang telah dirancang.

“Di bahagian kedutaan, kami bertindak sebagai pengantara dan fasilitator. Maknanya kami akan memastikan semuanya berjalan lancar antara pihak berkuasa Belgium yang menyediakan permit pekerjaan (dalam hal ini, Flanders), KV Kortrijk dan ejen Luqman Hakim.

“Kami sememangnya berhubung dengan semua pihak yang terlibat dan akan terus melakukannya walaupun setelah Luqman Hakim mendarat dan memulakan kerjayanya di Belgium.

“Setakat ini, saya belum bertemu dengan Luqman Hakim tetapi saya tahu bahawa dia adalah anak yang baik, matang, rendah hati, berpegang teguh pada agamanya dan ini bukan kali pertama dia keluar negara.

“Peminat bola sepak Malaysia harus yakin akan adanya sokongan emosi dan semangat terbaik menantinya di pihak KV Kortrijk,” jelasnya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!