JBPM tetap teruskan tindakan undang-undang

Saadon (tengah) bersama pegawai dan anggotanya pada Majlis Perbarisan Tahunan di Ibu Pejabat JBPM, pagi tadi.
Saadon (tengah) bersama pegawai dan anggotanya pada Majlis Perbarisan Tahunan di Ibu Pejabat JBPM, pagi tadi.
A
A
A

BATU KAWAN - Walaupun telah menerima permohonan maaf daripada seorang netizen, Jabatan Bomba dan Pemyelamat Pulau Pinang akan tetap meneruskan tindakan perundangan terhadapnya.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Saadon Moktar, berkata lelaki berkenaan boleh dikenakan tindakan mengikut

Seksyen 5 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341).

Menurutnya, kini lelaki terbabit sedang disiasat oleh polis berhubung tindakannya mengkritik tugas anggota bomba dan penyelamat yang melakukan tugas operasi mencari dan menyelamat mangsa yang maut selepas kereta utiliti sukan (SUV) terhumban di bawah Jambatan Pulau Pinang pada Ahad lalu.

“Bagi kes lelaki yang melemparkan komen negatif terhadap kita baru-baru ini, dia tetap akan diambil tindakan bagaimanapun kita tangguhkan dahulu kerana individu itu turut disiasat dibawah undang-undang pihak polis.

“Kita tidak mahu dia dikenakan dua tindakan serentak dan masih mempunyai budi bicara yang mana kita akan menunggu dulu hasil laporan daripada polis sebelum menyiasat serta mengambil tindakan dibawah akta bomba,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perbarisan Tahunan di Ibu Pejabat JBPM, di sini, pagi tadi.

Terdahulu, dalam kejadian awal pagi Ahad lalu itu, mangsa Moey Yun Peng, 20 yang sedang memandu kereta SUV Mazda CX-5 berwarna putih di Jambatan Pulau Pinang terhumban ke laut akibat dirempuh sebuah Toyota Vios.

Mangsa merupakan pelajar sebuah kolej swasta dan tinggal di Taman Kempas, Butterworth.

Artikel Berkaitan:

Ketika kejadian, dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas menyambut hari jadi rakannya di sebuah pusat hiburan di Lebuh Chulia di sini.

Seorang lelaki mencetuskan kemarahan netizen selepas melemparkan komen memperlekehkan tugas anggota bomba di laman sosial.

Pada hari kedua operasi mencari dan menyelamat mangsa, lelaki berkenaan mengeluarkan komen negatif yang mengguris perasaan keseluruhan anggota bomba.

Tidak tahan dikritik netizen akibat mengeluarkan kata-kata yang kurang sopan, pengguna laman sosial Facebook itu kemudiannya bertindak memohon maaf atas perilakunya itu.

Lelaki berkenaan tampil melakukan permohonan maaf itu dengan pergi ke Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Georgetown.

Dia mengakui dirinya amat kesal kerana memuat naik perkataan sedemikian kepada pihak bomba.

Mengulas lanjut, Saadon berkata, mengikut Sekyen 5 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) mana-mana individu yang mencaci, mengganggu dan menghalang tugas polis sekiranya disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Beliau berkata, pihaknya tidak dapat menarik balik kertas siasatan jika mana-mana individu sudah melakukan kesalahan dan melanggar undang-undang yang ditetapkan.

“Tindakan ini perlu diambil bagi memberi pengajaran kepada semua agar tiada lagi sesiapa yang melemparkan komen-komen tidak baik terhadap anggota penyelamat yang sentiasa bertungkus lumus dalam operasi menyelamat mangsa,” katanya.