Al-Sultan Abdullah Yang di-Pertuan Agong ke-16

Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah
Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Raja-raja berkenan melantik Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, hari ini.

Timbalan Yang di-Pertuan Agong pula sekali lagi disandang Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.

Sultan Nazrin Shah
Sultan Nazrin Shah

Mesyuarat khas Majlis Raja-raja yang berlangsung di Istana Negara jam 12.45 tengah hari tadi diadakan susulan peletakan jawatan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 6 Januari lalu.

ARTIKEL BERKAITAN:

Mesyuarat selesai, Agong baharu diumum petang ini

Agong pertama letak jawatan dalam sejarah

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin mempengerusikan mesyurat khas berkenaan.

Mesyuarat itu dihadiri lapan daripada sembilan Raja Melayu iaitu Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah; Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar; Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Artikel Berkaitan:

Raja-Raja Melayu bersedia memulakan pengundian bagi memilih Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja di Istana Negara hari ini. - Foto Bernama
Raja-Raja Melayu bersedia memulakan pengundian bagi memilih Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja di Istana Negara hari ini. - Foto Bernama



Turut hadir, Sultan Pahang sendiri diikuti Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V bagaimanapun tidak menghadirkan diri dalam mesyuarat khas tersebut.

Menurut Seksyen 2, Jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan, Majlis Raja-raja hendaklah menawarkan jawatan Yang di-Pertuan Agong kepada Raja yang layak dipilih, yang negerinya ialah yang pertama dalam senarai pemilihan.

Susunan penggiliran pertama pelantikan Yang di-Pertuan Agong dilakukan atas persetujuan Raja negeri-negeri mengikut kekananan dari segi tempoh pemerintahan yang dimulakan dengan Negeri Sembilan, Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah, Kelantan, Pahang, Johor dan Perak.

Hanya Raja-raja, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja dan Penolong Setiausaha Majlis Raja-raja sahaja yang terlibat dalam proses pemilihan itu.

Menurut laman web rasmi Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, semasa pemilihan, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja membekalkan satu kertas undi setiap Raja dan setiap Raja diminta menandakan pendapatnya sama ada Raja yang paling kanan (satu nama sahaja) adalah sesuai/tidak sesuai dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Calon mestilah mendapat majoriti lima undi sebelum Raja yang mempengerusikan Mesyuarat Pemilihan menawarkan jawatan Yang di-Pertuan Agong kepada baginda.

Jika Raja yang berjaya tidak menerima tawaran ataupun Raja itu gagal memperoleh undi majoriti maka proses pengundian semula akan dijalankan, iaitu dengan mencalonkan nama Raja yang kedua dalam senarai kekananan yang layak dipilih untuk diundi.

Proses hanya akan selesai selepas baginda menerima tawaran jawatan Yang di-Pertuan Agong.

Selepas itu, majlis akan mengisytiharkan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong dan memegang jawatan itu bagi tempoh lima tahun.

Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah
Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah