Mesyuarat selesai, Agong baharu diumum petang ini

Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar (dua, kiri) bersama Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah (dua, kanan) berangkat pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja bagi memilih Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini. Foto: Bernama
A
A

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Khas Majlis Raja-raja bagi memilih Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara selesai pada 12.45 tengah hari ini.

Mesyuarat yang dipengerusikan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin itu berlangsung selama lebih satu jam.

Mesyuarat bermula 11.15 pagi itu dihadiri semua Raja-raja Melayu kecuali Kelantan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemilihan Agong ke-16 hari ini

Raja-raja Melayu yang berangkat ialah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah.

Turut berangkat Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta'in Billah, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Pemilihan itu diadakan susulan peletakan jawatan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 6 Januari lepas.

Kenyataan rasmi mengenai pelantikan Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong dijangka dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad petang ini. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia