MFL puas hati sambutan eMFL

Ab Ghani bersama dengan pemenang-pemenang pada Majlis Penyampaian Hadiah eMFL 2020 hari ini.
Ab Ghani bersama dengan pemenang-pemenang pada Majlis Penyampaian Hadiah eMFL 2020 hari ini.
A
A
A

KETUA Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Datuk Ab Ghani Hassan berpuas hati dengan sambutan terhadap Kejuaraan eMFL yang diberikan peminat e-sukan selepas mencapai tontonan sehingga 280,000 penonton di laman sosial.

Kejohanan yang julung kali diadakan pada musim ini telah berlangsung bermula 1 Julai lalu, disiarkan secara langsung dalam talian Facebook MFL, eMFL dan Gamesbond.

Jelas Ab Ghani, meskipun kejohanan tersebut dianjurkan secara sederhana ekoran pandemik Covid-19, beliau menyifatkan sambutan yang diterima di laman sosial sepanjang lapan hari berlangsung begitu memberangsangkan menerusi gambar dan video di laman sosial yang turut berjaya mengumpul capaian sebanyak 3 juta.

“Sudah pasti ia satu impak yang cukup baik telah kita terima mengenai e-sukan di negara ini lebih-lebih lagi eMFL pertama kali diadakan pada musim ini.

“Dan menerusi laporan yang kita terima daripada segi hasil tontonan di laman Facebook, cukup memberangsangkan dan untuk kita, tanpa ragu-ragu lagi, kita akan terus mengadakan kejohanan eMFL 2021 pula pada musim hadapan.

“Ini merupakan gambaran yang cukup baik untuk arena e-sukan dan dalam masa yang sama peluang untuk penyokong-penyokong mengisi masa mereka menyaksikan aksi bola sepak dalam talian memandangkan perlawanan sebenar di stadium tertangguh sebelum ini.

“Kita harapkan penyertaan yang lebih ramai lagi pada musim hadapan dan pemain-pemain ini akan terus berkembang pada masa hadapan dalam arena e-sukan FIFA ini,” jelasnya.

Dalam Majlis Penyampaian Hadiah eMFL 2020 hari ini, Mohd Faiz Hariry atau Favlain yang mewakili Terengganu FC dinobatkan sebagai juara dan berjaya membawa pulang hadiah RM1,300, trofi, monitor permainan BenQ dan sijil penghargaan.

Artikel Berkaitan:

Ini merupakan kemenangan kedua bagi Terengganu FC selepas kali pertama menjuarai Kejohanan ePiala Malaysia 2019 menerusi pemain, Luqman Haziq Hajiman.

“Saya bersyukur kerana berjaya memenangi kejohanan ini buat pertama kalinya dan sudah pasti ingin mempertahankan kejuaraan sama pada musim depan pula.

“Secara keseluruhan, memang saingan ini cukup mencabar kerana saya tidak sangka dapat menang apatah lagi pencabar lain cukup hebat.

“Saya ingin terus sertai kejohanan ini pada musim depan dan terima kasih diucapkan kepada semua termasuklah TFC yang banyak beri sokongan,” katanya.

Naib juara dimenangi oleh Muhammad Imran Burhanudeen mewakili Kedah dan tempat ketiga diraih oleh JDT menerusi pemain, Luqman Haziq Hajiman.

Hadiah disampaikan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi dalam majlis yang turut dihadiri Ahli Lembaga Pengarah MFL, Razali Dolhan serta penaja utama, Telekom Malaysia diwakili oleh Pengurus Besar TM, Petaling Jaya, Tuan Hamidun Ismail dan Pengurus Pemasaran BenQ, Vincent Chin.