SKMM kongsi hasil perbincangan Makmal pertengahan Ogos

Saifuddin Abdullah
Saifuddin Abdullah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hasil perbincangan pelaksanaan Makmal Infrastruktur Digital Negara (Makmal) dijangka dikeluarkan pertengahan Ogos ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, Makmal yang berlangsung dari 13 Julai hingga 14 Ogos itu adalah kerjasama perundingan antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), pemain industri telekomunikasi serta agensi berkaitan bagi menetapkan semula sasaran berkaitan pembangunan infrastruktur digital negara.

“Kita harus ada campur tangan kerajaan antara SKMM dan syarikat telekomunikasi. Ini yang sedang kita bincang dengan syarikat telekomunikasi supaya kita dapat melihat apa sahaja peruntukan Penyediaan Perkhidmatan Sejagat (USP) disusun semula sampai ke kawasan pedalaman.

“Saya jangka pertengahan Ogos ini, kita boleh kongsi hasil rundingan antara SKMM dan syarikat telekomunikasi,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan yang dibangkitkan Datuk Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) berhubung isu kadar bayaran bagi pengguna luar bandar untuk mendapatkan capaian internet tidak setimpal dengan kualiti yang diterima.

Bagi soalan asal Mohd Salim yang ingin tahu perancangan kerajaan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan internet di luar bandar, Saifuddin berkata, kerajaan telah melaksanakan inisiatif penyediaan perkhidmatan selular awam.

Katanya, inisiatif itu melibatkan pembinaan menara komunikasi baharu dan menaik taraf alat pemancar komunikasi di menara komunikasi sedia ada kepada perkhidmatan 3G dan 4G di seluruh negara, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Sebanyak 2,332 menara komunikasi siap dibina dan 303 menara dalam peringkat pelaksanaan di seluruh negara manakala 5,332 alat pemancar komunikasi di menara komunikasi sedia ada telah dinaik taraf kepada perkhidmatan 3G dan 4G dan 24 alat pemancar komunikasi masih dalam peringkat pelaksanaan di seluruh negara,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Saifuddin berkata, dalam pada itu kerajaan sedang mengadakan sesi perancangan bersama pihak industri dan Sarawak Multimedia Authority (SMA) bagi memantapkan kualiti serta liputan perkhidmatan di seluruh kawasan di Bumi Kenyalang.

“Sebanyak 31 menara komunikasi baharu sedang dibina di Sarawak dan dijangka siap pada suku pertama tahun 2021,” katanya.

Mengenai isu kecurian di menara telekomunikasi yang dibangkitkan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian), Saifuddin berkata, perkara itu mendapat perhatian kerajaan apabila laporan polis dibuat bagi mengelak perkara sama berulang sehingga menjejaskan perkhidmatan telekomunikasi. - Bernama