Basuki Tjahaja Purnama akhirnya bebas

BTP dibebaskan awal tiga bulan setengah daripada tempoh hukumannya kerana berkelakuan baik. - Foto: Instagram/ BasukiBTP
BTP dibebaskan awal tiga bulan setengah daripada tempoh hukumannya kerana berkelakuan baik. - Foto: Instagram/ BasukiBTP
A
A
A

JAKARTA - INDONESIA. Selepas hampir dua tahun bekas gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama menjalani hukuman penjara, beliau akhirnya dibebaskan pada Khamis.

Ahok yang kini mahu dikenali sebagai BTP dipenjarakan pada Mei 2017 selepas mahkamah di Jakarta mendapati beliau bersalah kerana menghina agama Islam.

Beliau kemudiannya dijatuhi hukuman penjara dua tahun, namun dibebaskan tiga bulan setengah lebih awal selepas mendapat pengampunan kerana berkelakuan baik.

Beberapa penyokong beliau yang memakai pakaian merah, biru dan putih turut berkumpul di luar Pusat Tahanan di Depok, Jakarta Selatan sambil melaungkan slogan dan bersorak untuk meraikan pembebasannya.

Setiausaha beliau, Ima Mahdiah mengesahkan BTP meninggalkan pusat tahanan itu pada jam 7.30 pagi (waktu tempatan) bersama anak lelakinya, Nicholas Sean dan beberapa penyokongnya.

Sebelum pembebasan BTP, media dan pengguna internet turut berteka-teki tentang masa depan beliau termasuk jemputan ke beberapa negara.

Selain itu, terdapat laporan yang mendakwa beliau akan berkahwin dengan seorang anggota polis pada bulan depan.

Selasa lalu, peguamnya, Teguh Samudera memaklumkan, BTP merancang untuk terlibat dalam perniagaan minyak dan menjadi hos sebuah rancangan TV. - Straits Times

Artikel Berkaitan: