Misbun tak mahu terburu-buru

Misbun Sidek di Akademi Badminton Malaysia hari ini. - Foto Bernama
Misbun Sidek di Akademi Badminton Malaysia hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PENGARAH Pembangunan Remaja Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Misbun Sidek tidak mahu terburu-buru dalam mengejar cita-cita meletakkan pemain remaja badminton kebangsaan muncul juara acara berpasukan campuran Kejohanan Dunia Remaja pada Januari tahun depan.

Legenda badminton negara itu berkata, beliau tidak mahu tergesa-gesa terhadap program pemain remaja kebangsaan dan bakal mengambil pendekatan selamat dengan memberikan latihan sederhana terlebih dahulu.

“Yang penting ialah keselesaan dan kefahaman yang kita nak berikan kerana tempoh empat bulan merupakan jangka masa yang panjang, walaupun kita buat latihan menerusi (aplikasi) Zoom dan ada pemain yang mengikuti latihan bersama pasukan negeri mereka.

"Walaupun kita lalui satu waktu yang sangat sukar pada pandemik ini, tapi keseluruhannya, pemain mula berdisiplin, bersemangat ikut apa yang kita buat. Seperti negara-negara lain, kita pun mempunyai cita-cita untuk juarai acara berpasukan campuran Kejohanan Dunia,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Misbun hari ini hadir menyaksikan anak-anak buahnya melapor diri di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, selepas lebih empat bulan berlatih sendirian berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lepas.

“Jadi apa yang kita cuba buat ialah merancang banyak perkara, seperti memutuskan siapa yang bermain acara perseorangan dan beregu, yang kita kena rancang dengan betul-betul untuk membentuk satu pasukan yang mantap

Malaysia hanya pernah muncul juara kejohanan itu pada 2011, walaupun pernah melahirkan beberapa juara dunia remaja seperti Goh Jin Wei yang meraih gelaran perseorangan wanita pada 2015 dan 2018, Zulfadli Zulkiffli (perseorangan lelaki 2011), Nelson Heg Wei Keat-Teo Ee Yi (beregu lelaki 2011) dan Ow Yao Han-Yew Hong Kheng (beregu lelaki 2010).

Terdahulu, seramai 43 pemain ABM berusia antara 16 hingga 18 tahun dan enam jurulatih telah melapor diri ke akademi itu, manakala kumpulan pemain berusia antara 13 hingga 15 tahun dijangka kembali pada 16 Ogos.

Artikel Berkaitan:

Pemain yang melaporkan diri hari ini, termasuk Muhammad Fazriq Mohamad Razif, akan dikuarantin di bilik masing-masing dan dijangka memulakan latihan pada Selasa ini selepas mendapat keputusan ujian swab bagi koronavirus (Covid-19).

Kejohanan Dunia Remaja 2020 yang sepatutnya berlangsung di Auckland, New Zealand dari 28 September hingga 11 Oktober ini, telah ditunda kepada 11 hingga 24 Januari depan.

Sementara itu, Misbun berkata, pihaknya sedang merancang Kejohanan Bawah 21 tahun kebangsaan dari 2 hingga 6 Sept ini, sebagai ujian pertama kepada pemain-pemain muda selepas PKP.

Misbun yang hanya memulakan tugasnya selaku pengarah pembangunan remaja pada Februari lepas berkata beliau tidak akan masuk campur dalam program yang disediakan oleh para jurulatih, tetapi hanya akan memberikan tunjuk ajar jika perlu. - Bernama