X

Kindly register in order to view this article
!

KKM, KPM kaji tahap kesihatan mental pelajar

Dr Adham (tengah) mengukur jarak antara pelajar dengan pelajar ketika berada di dalam kelas ketika hadir Program Pembudayaan Normal Baharu dan Let's Talk Minda Sihat di SMK Seri Pinang, Bandar Tenggara, Kota Tinggi hari ini. - Foto Bernama
A
A

KOTA TINGGI - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi menjalankan satu kaji selidik berhubung kesihatan mental dalam kalangan pelajar sekolah di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, kaji selidik itu termasuk data pelajar yang mengalami masalah seperti kemurungan, tekanan dan lain-lain yang boleh menjurus kepada hasrat membunuh diri.

“Semua sekolah akan jalankan kaji selidik bagi melihat peratusan sebenar (pelajar yang mengalami masalah ini), “ katanya pada sidang akhbar selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pinang di sini hari ini.

Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2017 menunjukkan satu daripada lima remaja berumur 13 hingga 17 tahun mengalami kemurungan, dua daripada lima pula mengalami keresahan dan satu daripada 10 berdepan dengan stres.

Dr Adham berkata, kajian sama juga mendapati trend peningkatan dalam tingkah laku bunuh diri dalam kalangan remaja iaitu peningkatan idea bunuh diri kepada 10 peratus berbanding 7.9 peratus pada 2012.

Pada masa sama, beliau berkata, KKM dan KPM menjalankan usaha berterusan bagi menangani masalah kesihatan mental pelajar menerusi Program Minda Sihat yang dilaksanakan sejak 2011 dan sehingga kini melibatkan 2,440 daripada kira-kira 10,000 buah sekolah di seluruh negara.

Mengulas lanjut, beliau berkata, KKM dan KPM juga sedang meneliti cara membantu guru kaunselor mengendalikan kaunseling dalam normal baharu.

KKM katanya turut menyediakan perkhidmatan kesihatan mental melalui klinik kesihatan dan hospital kerajaan manakala bantuan talian sokongan psikososial boleh didapati melalui Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat (CPRC) di talian 03-29359935 atau 011-63996482. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!