Kerajaan perkenal PenjanaKerjaya

Saravanan menyempurnakan gimik perasmian Karnival PenjanaKerjaya di Dewan Merdeka Tapah semalam.
Saravanan menyempurnakan gimik perasmian Karnival PenjanaKerjaya di Dewan Merdeka Tapah semalam.
A
A
A

TAPAH - Seramai 64,495 orang diberhentikan kerja oleh majikan dalam tempoh Januari hingga Julai tahun ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, statistik Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu lebih tinggi berbanding kadar 55,000 orang diberhentikan kerja yang diberikan agensi pekerjaan.

Menurutnya, bagi membantu pekerja yang diberhentikan, kerajaan mengambil beberapa langkah antaranya memperkenalkan Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan (PenjanaKerjaya) bermula 15 Jun lalu.

“Sehingga 23 Julai lalu, seramai 16,198 majikan membuat pendaftaran bagi insentif ini dan daripada jumlah berkenaan, 2,240 majikan membuat pengambilan pekerja di mana seramai 6,928 pekerja diambil bekerja.

“Saya yakin dengan adanya inisiatif PenjanaKerjaya ini, kadar pengangguran dapat diatasi, cuma saya minta kepada rakyat Malaysia janganlah memilih sangat (kerja),” katanya selepas merasmikan Karnival PenjanaKerjaya Perkeso Perak di Dewan Merdeka Tapah di sini semalam.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Jamil Rakon dan Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Saravanan berkata, kecekapan negara menangani wabak koronavirus (Covid-19) yang membawa kepada pembukaan beberapa sektor lebih awal turut membantu mengatasi masalah pengangguran.

“Kita tidak benarkan pekerja asing dibawa masuk ke negara ini dan kita setuju supaya majikan mengambil semula pekerja atau apabila ada sektor yang ditutup, pekerja daripada sektor tertentu berpindah ke sektor yang diperlukan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Karnival PenjanaKerjaya Perkeso adalah yang pertama diadakan dalam skala besar selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan dengan menyediakan 7,000 kekosongan jawatan.

Perkeso juga merancang memperluaskan siri jelajah Karnival PenjanaKerjaya di Johor, Melaka, Kedah, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Tambah Saravanan, di Perak seramai 420 majikan mendaftar di bawah program PenjanaKerjaya dan 147 majikan menggajikan 510 pekerja.

Kembali bekerja selepas tiga bulan menganggur

PenjanaKerjaya yang diperkenalkan kerajaan telah memberi peluang kepada seorang penduduk orang asli mendapatkan pekerjaan selepas hampir tiga bulan menganggur.

Rimi Busu, 32, dari Pos Balar, Gua Musang Kelantan bersyukur apabila diterima bekerja di sebuah syarikat pembekal dan penghantar cendawan tiram kelabu di Temoh Stesen, Tapah.

Menurutnya, dia memohon kerja menerusi PenjanaKerjaya selepas diberhentikan kerja dan dipanggil untuk hadir temu duga pada Jun lalu.

“Saya rasa bersyukur apabila syarikat terima saya bekerja, dapatlah saya sumber pendapatan untuk meneruskan kehidupan,” katanya yang sudah pun bekerja di syarikat itu sejak sebulan lalu.

Phan Ji Wei (kanan) bersama Rimi menunjukkan sijil penghargaan yang diterima.
Phan Ji Wei (kanan) bersama Rimi menunjukkan sijil penghargaan yang diterima.

Rimi adalah antara empat peserta menerima sijil penghargaan pekerja yang berjaya kembali bekerja daripada Saravanan sempena Karnival PenjanaKerjaya Perkeso Perak di Dewan Merdeka Tapah di sini semalam.

Dalam majlis itu, Saravanan menyampaikan insentif pengambilan pekerja kepada empat majikan masing-masing berjumlah antara RM600 dan RM1,000 bagi seorang pekerja. Penerima, Phan Ji Wei daripada Syarikat Sinaran Agro Enterprise Sdn Bhd berkata, program itu memudahkan majikan mendapatkan tenaga kerja bagi membantu operasi perusahaan selepas menempuh tempoh sukar akibat wabak Covid-19.

“Insentif ini dapat meringankan beban majikan dan sejak Jun lalu, saya sudah mengambil lima pekerja baharu termasuk dua pekerja lama yang diambil semula bekerja untuk membantu syarikat,” katanya.

84 individu di Tapah mendapat pekerjaan

Seramai 84 individu ditawarkan pekerjaan manakala 513 lagi berjaya melepasi temu duga kedua menerusi Karnival PenjanaKerjaya yang berlangsung di Dewan Merdeka Tapah di sini semalam.

Karnival itu menawarkan lebih 7,000 kekosongan jawatan dengan lebih 20 majikan di seluruh negara.

Sehingga jam 5 petang, seramai 1,263 orang telah hadir untuk mendapatkan peluang pekerjaan dan daripada jumlah itu, 43 merupakan orang asli.

Dr Mohammed Azman berkata, penganjuran karnival itu boleh dilihat sebagai pembuka tirai kepada penganjuran skala lebih besar yang dilaksanakan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Karnival PenjanaKerjaya di Tapah semalam menerima sambutan menggalakkan dengan kehadiran 1,263 pencari pekerjaan.
Karnival PenjanaKerjaya di Tapah semalam menerima sambutan menggalakkan dengan kehadiran 1,263 pencari pekerjaan.

Menurutnya, ketika PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Perkeso aktif melaksanakan perkhidmatan pekerjaannya secara maya dalam membantu majikan, pencari kerja, penganggur dan mereka kehilangan pekerjaan.

“Sejak Januari hingga Jun lalu, Perkeso melaksanakan 2,725 aktiviti perkhidmatan pekerjaan merangkumi sesi temu duga, taklimat, karnival pekerjaan dan sesi kebolehpasaran pekerjaan.

“Bilangan aktiviti ini dijangka terus meningkat selari dengan peranan Perkeso dalam pelaksanaan Penjana,” katanya.