X

Kindly register in order to view this article
!

Sokong Muhyiddin kembali sertai UMNO

Johari
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mengalu-alukan cadangan kemasukan semula Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin ke dalam UMNO.

Beliau berkata, langkah tersebut adalah baik demi perpaduan orang Melayu di negara ini.

"Saya mengalu-alukan cadangan tersebut demi kebaikan perpaduan Melayu," katanya ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu pada Program Biztalk anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Wilayah Persekutuan di Menara Dato' Onn di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Ubah keputusan pecat Muhyiddin

Semalam, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menyatakan bahawa UMNO boleh mengubah semula keputusan pemecatan Muhyiddin daripada parti itu pada tahun 2016 sekiranya mahu menerimanya semula.

Jelasnya, UMNO sememangnya mengalu-alukan kehadiran semula Presiden Bersatu itu ke dalam parti tersebut sekiranya itu hasrat beliau.

Menurutnya, keputusan itu akan memberi lebih banyak kemudahan dan kesenangan kepada kedua-dua pihak dalam banyak perkara terutama soal pembahagian kerusi pilihan raya.

Selain Mohamad, Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohammed dan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz turut menyatakan perkara sama.

Muhyiddin dipecat Majlis Tertinggi UMNO daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta pada 24 Jun 2016.

Keputusan pemecatan Muhyiddin itu dipercayai berpunca daripada tindakan beliau mempersoalkan isu skandal 1MDB secara terbuka bersama beberapa pemimpin lain seperti Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang ketika itu Naib Presiden UMNO dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang ketika itu Menteri Besar Kedah.

Presiden UMNO ketika itu, Datuk Seri Najib Razak dilaporkan berkata tindakan itu dipersetujui sebulat suara oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO kerana pelanggaran disiplin iaitu berada di pentas bersama pembangkang menyerang pimpinan dan parti.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!