India kekal destinasi eksport utama minyak sawit

Malaysia akan membantu kerajaan India secara teknikal dalam usaha mereka membangunkan minyak sawit. - Gambar hiasan 123RF
Malaysia akan membantu kerajaan India secara teknikal dalam usaha mereka membangunkan minyak sawit. - Gambar hiasan 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - India akan kekal sebagai destinasi eksport utama bagi pengeluar minyak sawit terbesar di dunia - Indonesia dan Malaysia, untuk jangka masa yang akan datang berikutan masa yang diambil bagi India untuk meningkatkan dan memodenkan sektor pertaniannya.

Pemilik dan Pengasas Bersama Palm Oil Analytics yang berpangkalan di Singapura, Dr Sathia Varqa berkata, sektor pertanian negara itu sangat bergantung kepada hujan untuk tanaman.

"Sawit memerlukan banyak hujan untuk menghasilkan hasil yang optimum dan ketiadaan hujan selama lebih daripada dua bulan akan menjejaskan hasil. Ini akan meningkatkan kos (pengeluaran),” katanya kepada Bernama.

Sathia berkata, India akan menghasilkan sawit sendiri kerana kebergantungannya yang tinggi terhadap import berharga berbilion dolar US dan kenyataan daripada perdana menteri negara itu menggambarkan betapa pentingnya perkara tersebut susulan defisit dihadapi India daripada cabaran ekonomi dan pandemik Covid-19 telah memburukkan keadaan.

"Apa yang penting, Malaysia tidak boleh berpuas hati dan perlu terus memperluas kedudukan pasarannya ketika ini dengan memeterai perjanjian dua hala, mempergiatkan penyelidikan dan meningkatkan kerjasama," katanya.

Semalam, Bernama melaporkan bahawa Perdana Menteri India, Narendra Modi telah meminta pekebun di bahagian timur laut negara itu untuk membangunan perladangan minyak sawit berperanan sebagai pasaran terjamin untuk komoditi yang diimport.

Modi dinasihati para saintis pertanian dan ahli ekonomi mengenai potensi perladangan minyak sawit di wilayah timur laut negara itu yang akan membantu India untuk membangunkan sendiri komoditi tersebut.

"Saya meminta semua kerajaan negeri di bahagian timur laut untuk membangunkan misi olein sawit di negeri masing-masing," kata Modi menerusi satu persidangan video.

Artikel Berkaitan:

Kumpulan perdagangan India yang mewakili pengekstrak minyak bijian, Persatuan Pengekstrak Pelarut India (SEA) menyokong langkah Modi itu kerana ia akan mengurangkan import.

Presiden SEA, Atul Chaturvedi berkata, kawasan tanah sesuai untuk perladangan minyak sawit akan berkembang kerana isu itu sekarang telah mendapat perhatian anggota kerajaan.

India telah mengenal pasti sekitar dua juta hektar tanah yang sesuai untuk penanaman minyak sawit. Ia dapat menghasilkan sehingga lapan juta tan minyak sawit.

Antara negeri yang telah dikenal pasti ialah Arunachal Pradesh, Assam dan Mizoram di bahagian timur laut.

Sementara itu, Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, ketika Malaysia berharap agar India terus membeli minyak sawitnya, Malaysia akan membantu kerajaan India secara teknikal dalam usaha mereka membangunkan minyak sawit menggunakan khidmat pakar teknikal berkaitan amalan pertanian yang baik, serta pembangunan minyak sawit mampan.

Bagaimanapun, Ahmad Parveez berkata, bahawa keadaan iklim di India mungkin menjadikan usaha mereka untuk meningkatkan produktiviti minyak sawit menjadi satu cabaran besar. - Bernama