Harimau kumbang berlegar-legar di UiTM Kuala Pilah

Gambar harimau kumbang berlegar-legar di kawasan parkir UiTM Kuala Pilah yang tular sejak semalam.
Gambar harimau kumbang berlegar-legar di kawasan parkir UiTM Kuala Pilah yang tular sejak semalam.
A
A
A

KUALA PILAH - Seekor harimau kumbang dilihat berlegar-legar di kawasan parkir Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kuala Pilah dan gambar haiwan itu kemudian tular di laman sosial sejak semalam.

Pihak universiti tersebut sudah membuat laporan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan), Negeri Sembilan berhubung kemunculan harimau itu pada 22 Julai lalu untuk tindakan lanjut.

Ketika dihubungi, Ketua Unit Komunikasi Korporat UiTM Kuala Pilah, Mumtaz Ahmad berkata, seorang kakitangan di universiti berkenaan melihat seekor harimau kumbang lebih kurang jam 7 malam dan haiwan itu didakwa berlegar-legar antara lima ke 10 minit.

"Salah seorang kakitangan UiTM yang ketika itu baru selesai bertugas ternampak haiwan itu lalu merakam gambarnya sebelum ia tular di laman sosial.

"Bagaimanapun, kami telah mengambil langkah sewajarnya dalam soal keselamatan kakitangan UiTM supaya sentiasa berhati-hati selain melakukan pemantauan secara kerap oleh polis bantuan UiTM," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Mengulas lanjut, Mumtaz berkata, Perhilitan juga membuat pemantauan sebelum tindakan lanjut dilakukan.

"Ketika ini tiada pelajar di kampus dan kejadian ini merupakan pertama kali berlaku sejak kampus dibuka pada tahun 2009," katanya.

Sejak semalam, tular di laman sosial Facebook dan Twitter berhubung kemunculan seekor harimau kumbang di UiTM Kuala Pilah.

Artikel Berkaitan:

Pelbagai reaksi daripada netizen yang rata-ratanya meluahkan rasa bimbang dan kejadian itu turut mendapat respons daripada Persatuan Haiwan Malaysia.