Gelaran ikon kepada Pavithra tidak akan ditarik balik

Pavithra - Foto Bernama
Pavithra - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) tidak bercadang menarik balik pengiktirafan Ikon Bandaraya Ipoh yang diberikan kepada YouTuber masakan sensasi, S Pavithra Isnin lalu.

Pegawai Perhubungan Awam MBI, Mohd Syahrizal Azmi berkata, pihaknya maklum akan perkembangan terkini membabitkan wanita itu dan suaminya, M Sugu namun ia sama sekali tidak menjejaskan anugerah yang sudah diberikan.

"Tambahan pula pengiktirafan itu untuk Pavithra sendiri. Apa sahaja masalah atau konflik berkaitan perhubungan pasangan terbabit di luar kuasa dan campur tangan MBI," katanya kepada Sinar Harian.

ARTIKEL BERKAITAN: Suami Pavithra mengaku tidak bersalah

Anugerah ikon hanya untuk anak kelahiran Ipoh: MBI

Berang nama tak tercalon anugerah ikon punca pukul isteri

Terdahulu media melaporkan wanita berusia 28 tahun kelahiran Buntong itu menjadi individu pertama disenaraikan dalam 100 Ikon Bandaraya Ipoh.

Pengiktirafan itu diberikan selepas kejayaannya membina kerjaya menerusi bakat memasak sehingga mendapat lebih 770,000 pengikut di YouTube.

Artikel Berkaitan:

Pagi tadi, Sugu, 29, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh atas pertuduhan memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah sabit di tempat awam.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan, suami pasangan itu tidak berpuas hati apabila namanya tidak tercalon untuk menerima anugerah Ikon Bandaraya Ipoh.

Perselisihan faham itu berlanjutan sehingga membawa kepada kejadian pukul di pekarangan luar wad bersalin Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.54 petang Selasa itu, tindakan suspek yang berada dalam keadaan mabuk dan memegang sebilah sabit disedari jururawat dan pengawal keselamatan hospital.

Susulan kejadian itu, tiga laporan polis dibuat terhadap lelaki berkenaan di Balai Polis Sungai Senam, Ipoh.