Keutamaan Malaysia melindungi kepentingan Palestin

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia memberi keutamaan paling atas untuk melindungi kepentingan Palestin dan rakyatnya dan oleh itu keputusan untuk tidak membenarkan atlet Israel bertanding pada Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di negara ini adalah tepat.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata demikian apabila Shaun Ley yang bertindak sebagai anchor menerusi program bualbicara BBC bertanya kepada beliau mengapa Malaysia menafikan peluang untuk atlet Israel membuktikan diri mereka bersaing dengan beberapa perenang terbaik dunia apabila membuat keputusan itu.

"Jika menganjurkan acara antarabangsa adalah lebih penting daripada menjaga kepentingan rakyat Palestin yang menjadi saudara kita, ini bermakna kita telah kehilangan kedudukan moral kita," katanya.

Beliau menambah bahawa Malaysia akan bersuara menentang pencabulan hak asasi manusia dan keganasan terhadap rakyat Palestin walaupun ia mungkin menghadapi akibatnya pada masa depan.

Terdahulu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan mengambil pendirian tegas untuk tidak membenarkan atlet Israel daripada menyertai Kejohanan Renang Para Dunia 2019 yang akan diadakan di Kuching dari 29 Julai hingga 4 Ogos.

Keputusan untuk tidak membenarkan atlet Israel bertanding mendapat bantahan dari Jawatankuasa Olimpik Israel yang terus memberi tekanan kepada pihak penganjur untuk mengeluarkan visa kepada atlet mereka.

Kejohanan itu dianggap sebagai platform penting bagi kelayakan ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Sementara itu, menyentuh cadangan untuk menurunkan had umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun, Syed Saddiq berkata keputusan itu akan menambah lima juta lagi pengundi baharu menjelang pilihan raya umum akan datang pada 2022.

Artikel Berkaitan:

"Sekarang terdapat kira-kira 2.6 juta daripada mereka berusia 18 hingga 21 tahun, tetapi jangan lupa pilihan raya akan datang ialah pada 2022, ini bermakna mereka yang berumur 15 tahun hari ini akan dibenarkan untuk mengundi menjelang tahun itu, yang bermakna kira-kira 50 peratus daripada pengundi terdiri daripada generasi muda menjelang tahun tersebut," katanya.

Perwakilan belia dalam Kabinet juga meningkat dan kepimpinan belia diiktiraf, kata Syed Saddiq yang diperkenalkan oleh Ley dalam program bualbicara itu sebagai menteri termuda di Asia.

Syed Saddiq berkata dalam memperkasakan golongan belia, kurikulum pendidikan akan dikaji semula dan mereka akan dilatih semula dan meningkatkan kemahiran sambil menambah bahawa usaha juga telah dijalankan untuk menangani penghijrahan cendekiawan. - Bernama