X

Kindly register in order to view this article
!

Perdana Menteri catat pendapatan bulanan tertinggi

Orang ramai boleh mengakses maklumat perisytiharan harta anggota pentadbiran itu menerusi laman web mydeclaration.sprm.gov.my mulai hari ini.
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencatat pendapatan bulanan tertinggi dalam kalangan anggota pentadbiran kerajaan menerusi pendedahan dikeluarkan Portal Perisytiharan Harta oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Berdasarkan portal berkenaan, Muhyiddin yang juga merupakan Ahli Parlimen Pagoh itu menerima pendapatan bulanan sebanyak RM93,841.65 dengan jumlah aset melebihi RM10 juta.

Sementara Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berada di tangga kedua dengan pendapatan RM87,877.20 sebulan dan diikuti oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Dr Jeffrey G Kitingan dengan RM85,450 sebulan.

Di tangga keempat pula ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dengan pendapatan bulanan sebanyak RM84,615.20 sebulan dengan jumlah aset bernilai di antara 5 hingga 8.5 juta dan kelima Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dengan pendapatan RM69,427.20 sebulan.

Lima lagi anggota pentadbiran kerajaan mencatatkan pendapatan bulanan tertinggi mengikut turutan ke enam hingga ke 10 ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong.

Dua lagi ialah Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique dan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad [email protected] Kesemua mereka mencatatkan pendapatan bulanan antara RM64,087.41 hingga RM69,186.46.

Dalam pada itu, berdasarkan tinjauan di portal berkenaan pendapatan anggota pentadbiran kerajaan itu mula direkod dan diterima antara 30 Oktober 2019 hingga 17 Julai lalu.

Selain itu, tiada maklumat pendapatan bulanan diperoleh bagi Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan; Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Turut tiada dalam senarai adalah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi dan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Sementara itu, SPRM dalam kenyataan akhbar hari ini berkata, orang ramai boleh mengakses maklumat perisytiharan harta anggota pentadbiran itu menerusi laman web mydeclaration.sprm.gov.my mulai hari ini.

Sehingga kini, SPRM telah menerima dan memaparkan maklumat harta melibatkan 57 daripada 70 anggota pentadbiran kerajaan terdiri daripada Perdana Menteri, Menteri Kanan, Menteri dan Timbalan Menteri.

SPRM memaklumkan, pihaknya tidak akan bertanggungjawab terhadap maklumat perisytiharan harta yang diperoleh atau diambil dari mana-mana sumber selain daripada portal berkenaan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!